Sultan Johor dedah kepada SPRM nama ejen tawar RM2 juta esok

Sultan Johor dedah kepada SPRM nama ejen tawar RM2 juta esok

Sultan Ibrahim juga menafikan individu itu adalah pihak berkepentingan dalam kerajaan, namun dia adalah orang tempatan berasal dari Kuala Lumpur.

sultan-ibrahim-sprm
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar esok bagi mendapatkan maklumat mengenai orang tengah yang cuba merasuah baginda berhubung penganugerahan pingat.

Baginda mengesahkan perkara itu sejurus tiba di Stesen KTM Kuala Lumpur dengan kereta api yang dipandunya sendiri kira-kira jam 4.05 petang tadi, laporan BH Online.

“SPRM akan datang mengadap saya esok dan kami akan melihat dari pertemuan itu.

“Ya (akan dedahkan nama individu itu)… 1 nama. Saya rasa terhina dengan perkara itu (cubaan merasuah oleh orang tengah),” titah baginda.

Laporan itu menambah, ketika ditanya mengenai identiti ‘orang tengah’ itu, Sultan Ibrahim enggan mendedahkannya kepada pemberita.

Baginda bagaimanapun berkata: “Nama (gelaran)nya makin panjang, makin panjang.”

Mengulas lanjut, Sultan Ibrahim juga menafikan individu itu adalah pihak berkepentingan dalam kerajaan.

“Bukan menteri. Kerajaan bersih dalam perkara ini…tiada menteri terbabit, namun dia adalah orang tempatan dan berasal dari Kuala Lumpur,” titahnya.

Semalam, baginda menyatakan kesediaan mendedahkan maklumat kepada SPRM orang tengah yang cuba merasuah baginda berhubung penganugerahan pingat.

Menerusi kenyataan yang dimuatnaik dalam laman Facebook baginda, Sultan Ibrahim bertitah baginda mahu SPRM mengadap baginda segera supaya perkara terbabit dapat disiasat.

Baginda baru-baru ini mendedahkan baginda menerima tawaran RM2 juta daripada seorang individu bagi mencadangkan nama kepada Ketua Setiausaha Negara untuk gelaran ‘Tan Sri’ daripada Yang di-Pertuan Agong.

“Ini Johor, kami ada harga diri. Anda tidak boleh beli anugerah dan gelaran dengan wang ringgit,” titah baginda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.