Anwar: Nor Yakcop jadi menteri kewangan walau dilarang terlibat institusi kewangan

Anwar: Nor Yakcop jadi menteri kewangan walau dilarang terlibat institusi kewangan

Bekas menteri kewangan itu menjelaskan apa yang berlaku sebelum dan selepas pemecatan beliau pada 1998.

anwar-Mohamed-Yakcop
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, dilantik sebagai menteri kewangan II walaupun ada larangan dikenakan ke atasnya.

Anwar yang menjawat menteri kewangan sebelum dipecat pada September 1998, memaklumkan perkara tersebut dalam keterangannya kepada pasukan petugas yang menyiasat kerugian akibat spekulasi tukaran mata wang asing (forex) oleh BNM pada 1990-an.

“Setelah saya dipenjarakan pada September 1998, Nor Mohamed Yakcop dilantik sebagai penasihat ekonomi kepada perdana menteri, dan lebih serius lagi apabila beliau dilantik menteri kewangan II pada 2008; walaupun ketika diberhentikan pada tahun 1998, Kementerian Kewangan telah mengemukakan syarat beliau tidak boleh lagi terlibat dalam mana-mana institusi kewangan negara,” kata Anwar dalam kenyataan hari ini.

Anwar menjelaskan keterangan yang diberikan kepada kepada pasukan petugas melibatkan wakil pelbagai agensi, diketuai bekas ketua setiausaha negara Tan Sri Sidek Hassan, 20 April lalu.

Katanya, sebaik menyandang jawatan menteri kewangan pada 1991, ketua setiausaha perbendaharaan ketika itu, Tan Sri Zain Azraai Zainal Abidin, ada menyentuh mengenai urusan dagangan mata wang BNM.

“Menurutnya, sejak 1989, Perbendaharaan Amerika Syarikat; Bank Pusat England dan Tabung Kewangan Antarabangsa telah memaklumkan bahawa penglibatan BNM dalam urusan tersebut dianggap membimbangkan,” kata Anwar.

Menurut Anwar, masalah mula dikesan oleh media antarabangsa dan pasaran Zurich, Switzerland, sekitar penghujung 1991 dan awal 1992.

“Perkara tersebut dikemukakan semula kepada gabenor BNM. (Gabenor) Tan Sri Jaafar (Hussein) memberikan keterangan yang sama dan memaklumi bahawa pengarah urusan tersebut di BNM adalah Nor Mohamed Yakcop.”

“Memandangkan saya dan kementerian kewangan tidak dimaklumkan mengenai hal tersebut, gabenor sendiri yang menjelaskan kepada media dengan menyebut ‘kerugian atas kertas’.”

Tetapi Anwar berkata beliau perlu menangani persoalan yang ditujukan ketua pembangkang ketika itu, Lim Kit Siang. “Saya menegaskan arahan agar BNM menghentikan dagangan forex tersebut”.

Menurut Anwar, jumlah kerugian ketika itu, akibat dagangan forex tersebut, dianggarkan sekitar RM9 bilion hingga RM10 bilion.

“Gabenor BNM membuat pengakuan kepada saya bahawa Nor Mohamed Yakcop tidak memberi laporan tepat kepadanya dan beliau telah menerima perletakan jawatan Mohamed Yakcop sebagai petugas yang bertanggungjawab.

“Jaafar sendiri mengambil tanggungjawab sepenuhnya, walaupun saya akui kewibawaannya dan percaya bahawa beliau tidak diberikan keterangan lengkap oleh Nor Mohamed Yakcop.”

Pengganti Jaafar, Tan Sri Ahmad Don yang mengambil alih tugas gabenor pada 1994 menganggarkan jumlah kerugian akhir sekitar RM15 bilion hingga RM30 bilion.

“Ahmad Don bertindak menghentikan dagangan tersebut, dan mula membayar kerugian sekitar RM500 juta setiap tahun,” kata Anwar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.