
Dalam ucapannya disampaikan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam pembukaan penggal kelima persidangan Dewan Undangan Negeri ke-13, baginda mempersoalkan berita muka depan akhbar itu yang mempersoalkan peranan yang diberikan kepada sultan dalam enakmen tersebut.
“Malah ada juga pengamal media yang cetek akal turut mempersoalkan wajarkah kuasa raja diberikan dalam enakmen tersebut…
“Bagi saya surat khabar seperti ini sudah tiada nilai dan hanya layak dijadikan pembungkus nasi lemak sahaja,” katanya.
Walaupun tidak menamakan akhbar yang dimaksudkan, Utusan Malaysia pada 2014 pernah menerbitkan artikel muka depan dengan tajuk besar “Wajarkah” bersama gambar Sultan Ibrahim, ketika isu penglibatan istana dalam soal hartanah menjadi perdebatan hangat.
Artikel itu antara lain mempersoalkan peruntukan rang undang-undang enakmen itu yang membolehkan sultan membubar dan melantik ahli Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor.
“Rang undang-undang tersebut jika diluluskan akan menjadikan Johor sebagai negeri pertama memberi kuasa kepada sultan terlibat dalam pentadbiran kerajaan,” menurut artikel bertarikh 6 Jun, 2014.
RUU itu diluluskan DUN Johor pada tahun itu selepas beberapa pindaan menyentuh kuasa sultan.
Dalam ucapannya hari ini, Sultan Ibrahim berkata kuasa raja sudah termaktub sejak 1895, apabila undang-undang tubuh kerajaan Johor dimasyurkan.
“Kuasa itu mestilah dikekalkan bagi mengimbangi kuasa politik dan kepentingan rakyat dan negeri Johor.
“Oleh itu saya mahu enakmen hartanah tersebut dibawa semula mengikut cadangan asal.”
Baginda turut menyentuh kes rasuah berkait tanah Bumiputera melibatkan Exco Johor, Datuk Abd Latif Bandi.
“Lihatlah apa yang berlaku baru-baru ini, apabila ada orang politik yang telah didakwa atas tuduhan rasuah atau salah guna kuasa berkaitan isu perumahan Bumiputera negeri Johor.
“Kes siasatan oleh SPRM terhadap penjawat awam kerajaan Johor janganlah dilihat sebagai satu cara untuk melemahkan pentadbiran kerajaan Johor, malah ia seharusnya dijadikan kekuatan yang mana soal integriti adalah sesuatu yang tidak boleh ditolak ansur.”