Remaja didera sehingga mati otak meninggal dunia

t-Nhaveen-hospital-3

GEORGE TOWN: T Nhaveen yang disahkan mengalami otak mati akibat diserang dan diliwat secara kejam meninggal dunia sebentar tadi di Hospital Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Anuar Omar berkata hospital memaklumkan kepada polis yang Nhaveen meninggal dunia pada 6.00 petang.

Anuar tidak menjawab soalan adakah kes itu boleh dikelaskan sebagai kes bunuh. Anuar berkata maklumat lanjut akan diberitahu kepada media kemudian.

Jumaat lalu, Nhaveen dan rakannya Previin yang bekerja sebagai jurujual di AEON Queensbay sedang dalam perjalanan pulang ke rumah ketika mereka diusik 2 lelaki bermotosikal yang juga bekas rakan sekolah mereka.

Dua lelaki itu kemudian memanggil 3 rakan lain, dan mereka berlima kemudian menyerang Nhaveen dan Previin dengan topi keledar.

Previin meninggalkan tempat kejadian ketika seorang lelaki didakwa menculik Nhaveen ke sebuah padang berhampiran.

Di situ, mereka terus memukul Nhaveen dan kemudian didakwa memasukkan botol atau kayu ke duburnya.

Polis sebelum ini mendedahkan Nhaveen menerima cemuhan dan dipanggil “pondan” dan “pengecut” oleh 2 penyerangnya.

Guru sekolah Nhaveen berkata salah seorang daripada pemuda yang menyerangnya merupakan pelajar bermasalah dan kerap menganggu Nhaveen.

“Saya tidak mahu menamakannya, tetapi dia sudah lama membuli Nhaveen,” katanya, sambil menambah ibu Nhaveen juga mengenali pelajar itu.

“Pendekkan cerita, dia ni memang bawa masalah.”

Guru itu berkata nasib yang menimpa Nhaveen mengejutkan ramai guru yang mengenalinya.