
“Saya berharap DAP tidak akan membuat sebarang spekulasi mengenainya, apatah lagi ada yang beranggapan ada usaha daripada JPPM untuk mengharamkan parti berkenaan,” katanya pada sidang media ketika mengadakan kunjungan Gawai Dayak ke kediaman Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Taman BDC, Stampin hari ini.
Beliau berkata JPPM ada menerima permohonan daripada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng supaya kepimpinan DAP mengikuti pemilihan parti yang terdahulu, diterima sebagai pemegang jawatan yang sah.
“Perkara ini dikaji secara terperinci oleh JPPM dan mereka bukan sahaja mengkaji dari segi aspek perundangan tetapi JPPM juga berperanan untuk menjaga kepentingan mana–mana pertubuhan yang berdaftar dengannya.
“Dalam hal ini saya berbincang dengan ketua pengarah JPPM dan saya belum dapat penjelasan untuk memuktamadkan tentang keputusan rayuan yang dibuat DAP,” katanya.
Sehubungan itu, Zahid berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan ketua pengarah JPPM minggu depan.
Mengenai kemungkinan DAP akan dibubarkan, Zahid berkata beliau tidak nampak ada usaha ke arah itu.
“Ia bergantung kepada aspek perundangan yang sedia ada dan aspek perlembagaan parti berkenaan.
“Pada hemat saya, apabila peraturan itu tidak dipatuhi kepimpinan DAP yang perlembagaan parti itu dibuat oleh mereka sendiri, maka JPPM boleh mengambil keputusan yang profesional mengikut apa yang dicatat di dalam perlembagaan parti berkenaan,” katanya.
Sebelum ini, ketua ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang meminta ahli parti agar bersiap sedia menghadapi kemungkinan DAP diharamkan dan begitu juga penggunaan logonya pada pilihan raya umum akan datang.