Mustahil PRU14 November ini, kata penganalisis

Mustahil PRU14 November ini, kata penganalisis

Pensyarah Universiti Malaya Awang Azman Pawi ketidakmungkinan itu berkaitan dengan tarikh pembentangan Bajet 2018 pada akhir Oktober, bukannya kerana sentimen negatif ekonomi negara.

Awang-Azman-Pawi-general-election14-ge14-1
PETALING JAYA: Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak mungkin akan diadakan November ini memandangkan Bajet 2018 hanya akan dibentangkan akhir Oktober dan ia tidak ada kaitan dengan sentimen negatif ekonomi negara.

Demikian menurut pensyarah Universiti Malaya Awang Azman Pawi yang mengatakan tempoh PRU14 akan dipanggil ketika itu terlalu dekat selepas pengumuman belanjawan pada 27 Oktober oleh Datuk Seri Najib Razak.

“Ada yang berpendapat akan ada pengumuman bonus sekurang-kurangnya 1 bulan untuk penjawat awam. Banyak projek pembangunan untuk 2018 juga akan diumumkan bagi menarik lebih ramai pengundi.

“Bagaimanapun, pandangan ini tidak begitu tepat kerana anggaran belanjawan perlu dibahaskan sebelum diluluskan oleh ahli Parlimen. Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung dari 23 Oktober hingga 30 November.

“Dewan Negara, sebaliknya, hanya akan berlangsung dari 4 November hingga 19 Disember. Berdasarkan hal ini, tidak mungkin akan diadakan pada bulan Oktober, apalagi November dan Disember,” katanya kepada FMT.

Awang Azman mengulas kenyataan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bahawa Najib, selaku perdana menteri, tidak mungkin memanggil pilihan raya tahun ini kerana sentimen ekonomi yang tidak memihak kepada kerajaan yang memerintah.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata Najib tidak akan mengadakan PRU14 tahun ini ekoran sentimen ekonomi yang tidak baik.

Katanya, berdasarkan tinjauan Invoke ke atas 3,783 pengundi berdaftar di seluruh negara, lebih 60% pengundi berpendapat ekonomi negara berada di laluan salah dan keadaan Malaysia lebih teruk daripada 4 tahun lepas.

“Masa untuk mengadakan pilihan raya umum ialah selepas pembentangan Bajet 2018 dan tarikhnya mungkin pada November. Jika beliau berbuat demikian, beliau ada September dan Oktober untuk memperbaiki keadaan.

“Bagaimanapun, Najib tidak mungkin menjelmakan apa-apa dalam 2 bulan ini, walaupun dengan bajet mesra rakyat yang boleh memperbaiki sentimen ekonomi secara drastik.

“Mengadakan pilihan raya umum pada November ialah risiko amat besar dan Najib bukan orang yang akan mengambil risiko besar.

“Sebab itu saya tidak rasa pilihan raya akan diadakan tahun ini. Kemungkinan tahun depan,” kata Rafizi.

Tinjauan interaktif menerusi temu bual telefon yang diadakan selama sebulan dari 10 Jun sehingga 14 Julai lalu, memfokuskan keadaan ekonomi negara, kos sara hidup dan harga kenaikan harga barang.

Ketika mengulas lanjut, Awang Azman berkata, sentimen ekonomi sekarang tidak memihak kepada BN tetapi menegaskan faktor itu akan menjadi “modal terbesar” bagi pembangkang tidak kira bila PRU14 akan dipanggil.

Dalam menjelaskan mengapa PRU14 tidak boleh dipanggil November ini, beliau berkata, 2 bulan terakhir tahun ini adalah cuti sekolah dan ramai rakyat Malaysia akan bercuti sama ada di dalam atau luar negara.

Beliau juga berkata 2 bulan itu juga dikaitkan dengan monsun dan banjir, tempoh yang tidak menggalakkan bagi kerajaan memanggil pilihan raya pada masa itu.

Selain itu, Awang Azman percaya penangkapan pengerusi Felda Isa Samad berhubung pembelian sebuah hotel di London oleh Felda Investment Corporation pada 2014, adalah tamparan hebat ke atas BN.

“Selama ini Isa telah dilihat sebagai tentera Umno yang tidak dapat disentuh. Tetapi penangkapan ini memberi persepsi tentang ketirisan di Felda.

“Jadi, adalah tidak baik untuk BN jika pilihan raya umum diadakan pada bila-bila masa tahun ini,” katanya.

Pada masa yang sama, Awang Azman menyedari bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah bertindak bertentangan dengan konvensyen apabila membubarkan Parlimen pada tahun 1999 sejurus selepas bajet dibentangkan, menyebabkan PRU diadakan pada bulan November tahun itu.

“Jarang pilihan raya umum diadakan pada bulan November,” katanya sambil menambah, pilihan raya pada tahun 1999 bagaimanapun membuktikan apa yang diputuskan Dr Mahathir adalah betul dengan BN masih dapat menguasai majoriti 2/3 walaupun kalah banyak kerusi majoriti Melayu.

Najib tidak akan adakan PRU14 tahun ini, kata Rafizi

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.