
Gesaan itu adalah yang kedua dibuat oleh Anwar, yang merupakan menteri kewangan ketika kerugian itu berlaku pada 1990-an di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.
Minggu lalu, Pengerusi RCI Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata pihaknya masih belum memutuskan sama ada Anwar akan dipanggil.
“Saya cukup terkejut apabila pengerusi Tan Sri Sidek menjawab bahawa mereka ‘belum memutuskan’ sama ada akan memanggil saya atau tidak. Memandangkan saya merupakan Menteri Kewangan pada ketika kejadian tersebut berlaku, sudah pasti ini bukan suatu keputusan yang sukar untuk dibuat,” kata Anwar dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Anwar yang kini menjalankan hukuman penjara 5 tahun, menolak keterangan diberikan bekas penolong gabenor BNM, Datuk Murad Abdul Khalid yang mendakwa pernah memberikan taklimat kepada Anwar mengenai kerugian berbilion ringgit ditanggung BNM.
Murad berkata Anwar memberitahunya beliau terpaksa meletak jawatan sekiranya kerugian itu didedahkan kepada umum, dakwaan yang menurut Anwar adalah “palsu belaka”.
Anwar hari ini berkata RCI perlu memanggilnya bersama Dr Mahathir sekiranya mahu menegakkan kebenaran dalam isu kerugian berbilion ringgit dialami BNM.
“Tugas dan matlamat sesebuah Suruhanjaya Siasatan Di-Raja bukanlah untuk membuat kesimpulan atau keputusan pramatang atau memfitnah mana-mana pihak, tetapi untuk menegakkan kebenaran,” kata Anwar.
Anwar dipecat pada 2 Sept, 1998 oleh Dr Mahathir, sebelum dihukum penjara atas kesalahan liwat dan salah guna kuasa.
Panel RCI dipengerusikan Sidek bersama Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kamaludin Md. Said; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad; Datuk Seri Tajuddin Atan; Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan, Tan Sri Saw Choo Boon.
Turut terlibat Ahli Institut Akauntan Malaysia, K. Pushpanathan dan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Dr Yusof Ismail yang juga setiausaha suruhanjaya siasat.