
“Orang semua dah baca surat daripada Anwar,” kata Dr Mahathir, merujuk surat Anwar daripada penjara yang menyokong usaha berunding dengan PAS.
“Surat itu menimbulkan beberapa persoalan lain dan ini menjadi masalah (kepada Pakatan Harapan), yang kita boleh selesaikan, kita selesaikan,” katanya kepada wartawan ketika menghadiri prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian urus niaga mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) di Istana Kehakiman di sini.
Semalam Dr Mahathir berkata pendirian Anwar itu menyebabkan masalah kepada PH kerana ia memberi “lampu hijau”kepada PKR terus berhubung dengan PAS.
Dr Mahathir berkata gabungan 4 parti pembangkang itu sudah pun bersetuju tiada lagi rundingan dengan PAS.
Dalam responnya hari ini, Azmin berkata Anwar sebagai pemimpin tertinggi PH mempunyai hak berbuat demikian.
“Saya nak ingatkan Dr Mahathir, Anwar adalah ketua umum kepada Pakatan Harapan. Beliau bukan sekadar ketua umum PKR,” kata menteri besar Selangor itu ketika mengulas perang mulut yang semakin rancak di kalangan pimpinan PKR yang bersetuju dan sebaliknya untuk bekerjasama dengan PAS.