47 ahli Parlimen desak Petronas tarik pelaburan sehingga Myanmar iktiraf Rohingya

rafiziparliment1KUALA LUMPUR: Seramai 47 ahli Parlimen pembangkang mengemukakan petisyen kepada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) untuk menarik diri daripada melabur di Myanmar sehingga negara itu mengiktiraf hak etnik Rohingya.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata, pihaknya sudah menghantar surat kepada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan perkara itu.

“Petronas mempunyai beberapa pelaburan di Myanmar. Namun, hanya satu projek sedang mengeluarkan hasil hidrokarbon, iaitu projek lapangan gas Yetagun di Laut Andaman.

“Petronas hanya menyertai projek ini setelah Amerika Syarikat (AS) menarik diri, dipercayai akibat tekanan kerajaan AS dan pemegang saham yang berkempen untuk Aung San Suu Kyi,” katanya pada sidang media di luar Dewan Rakyat hari ini.

Naib presiden PKR itu berkata, projek lapangan gas Yetagun berbaki 12 tahun lagi kerana sumber gasnya dijangka habis menjelang 2030 dan pengeluaran gas kini dilaporkan merosot secara mendadak sebanyak 20%.

Malah, projek itu tidak memberi keuntungan besar kepada Petronas kerana harga gas rendah di pasaran dan tidak diikat kepada kadar langsung dengan kenaikan harga minyak mentah.

Rafizi berkata, Petronas juga sedang melakukan ujian menggali telaga minyak dan di fasa penerokaan dan pembangunan setakat hujung 2015.

“Namun, saya belum dapat apa-apa maklumat (mengenai) blok-blok baru ini menghasilkan minyak atau gas yang mendatangkan hasil kepada Petronas. Petronas juga menceburi perniagaan minyak pelincir, namun sumbangan kepada pendapatan Petronas jauh lebih kecil.”

Katanya, petisyen itu ialah langkah pertama dan ia akan diteruskan supaya tekanan masyarakat antarabangsa yang bermula dengan kempen di AS dan Malaysia akan membawa kepada pengiktirafan hak orang Rohingya.

“Kita (Petronas) tidak boleh membawa nama negara dan menjalankan perniagaan dengan pihak yang negara musuhi. Ia juga bagus untuk Petronas melakukan perkara ini (hentikan pelaburan di Myanmar).”

Pada 30 Oktober lalu, Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau tetap membangkitkan isu Rohingya kepada Presiden AS, Donald Trump walaupun ia bukan agenda pertemuan mereka di White House, September lalu.

Perdana menteri memberitahu Dewan Rakyat, sejak Malaysia menjelaskan isu itu kepada AS melalui pertemuan 2 bulan, Washington sudah mengumumkan bantuan kemanusiaan berjumlah AS$32 bilion kepada Rohingya.

Lebih 600,000 etnik Rohingya yang merupakan kumpulan minoriti Islam di Rakhine, melarikan diri daripada serangan tentera Myanmar sejak akhir Ogos lalu. Mereka lari ke sempadan selatan Bangladesh di mana krisis pelarian paling pesat di dunia sedang berlaku.