
Hakim S Nantha Balan turut memerintahkan Murali membayar wang jaminan RM50,000, kos guaman RM20,000 di samping mengarahkan pasportnya diserahkan.
Murali tidak hadir ke mahkamah hari ini kerana dimasukkan ke wad kecemasan di Pusat Perubatan Subang Jaya selepas mengadu sakit dada.
“Tindakan responden dalam menulis dan menerbitkan lagi komen di bahagian komen akaun Facebook responden pada Februari dan Mac lalu adalah dalam kemungkiran perenggan 1 penghakiman,” kata peguam G Rajasingam.
Murali dituduh enggan mematuhi arahan mahkamah pada 29 Julai 2016 supaya menghentikan muat naik Facebook terhadap Pengerusi Jawatankuasa Kuil Sri Subramaniam Swamy Devasthanam di Batu Caves, Tan Sri R Nadarajah.
Bagaimanapun Murali gagal membayar denda yang ditetapkan mahkamah dan diisytiharkan sebagai muflis. Pada 7 Februari lalu, Murali didapati memberi kenyataan bercanggah mengenai status dirinya.
Mahkamah mendapati, selepas 2 bulan keputusan pada 2016 dilakukan, Murali membawa ahli keluarganya bersama 6 yang lain bercuti di India dan beliau turut mengikuti rombongan ke Sepanyol.
Pada 29 Julai 2016, Nantha memerintahkan Murali menarik semula kenyataan bersifat fitnah yang dilakukan melalui Facebook terhadap Nadarajah.
Bahkan, hakim mahkamah turut mendenda Murali dengan denda kerugian am sebanyak RM200,000, ganti rugi teladan RM50,000 dan kos mahkamah berjumlah RM97,247.47.