
Ketua menteri, Lim Guan Eng memberitahu FMT beliau akan menulis surat kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Saya akan tulis surat kepada Zahid Hamidi untuk menyokong permohonan bilal surau, Sapno Tukijo menjadi PR.
“Sudah tentu kerajaan juga perlu mempertimbangkan banyak permohonan lain yang layak,” katanya ketika dihubungi semalam.
Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mohd Rashid Hasnon pula berkata, Jabatan Imigresen boleh mencadangkan Kementerian Dalam Negeri memberi status PR kepada Sapno, dengan syarat permohonannya memenuhi kriteria ditetapkan.
“Pertimbangan khas juga boleh diberikan kerana isterinya ialah warga Malaysia (orang Pulau Pinang) dan beliau tinggal di Malaysia selama 29 tahun serta menyumbang kepada masyarakat sebagai bilal,” katanya kepada FMT.
Sapno yang berasal dari Riau, Indonesia berpindah ke Malaysia ketika berusia 21 tahun dan memohon menjadi PR sejak 1994, tetapi semuanya ditolak kerajaan.
Semalam, Sapno dipetik Harian Metro sebagai berkata, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berjanji akan membantu memudahkan proses permohonan PR beliau.
Sapno mendapat perhatian media selepas memberi perlindungan kepada 70 mangsa banjir Cina dan India yang tinggal di kampung sekitar Lengkok P Ramlee.
Niat baiknya menerima pujian termasuk daripada perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Bagaimanapun, ada yang mengkritiknya selepas tersebar gambar menunjukkan sekumpulan mangsa banjir berseluar pendek atau tidak berbaju, berlindung di Surau Taman Free School, hujung minggu lalu.
Sapno menepis kritikan itu dengan berkata, walaupun berbeza agama, nyawa manusia lebih penting daripada kecaman masyarakat.
Bilal bantu mangsa bukan Islam pertikai agihan bantuan tak adil
Bilal: Nyawa mangsa banjir lebih penting daripada kecaman masyarakat