Khairy cabar Dr M bukti kemampuan raih majoriti 2/3 pada PRU14

Khairy cabar Dr M bukti kemampuan raih majoriti 2/3 pada PRU14

Ketua Pemuda Umno itu mengingatkan Dr Mahathir tidak perlu mendabik dada dengan kejayaan BN memenangi majoriti besar sepanjang beliau menerajui negara dari 1981 hingga 2003.

Khairy-Jamaluddin-mahathir
KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad membuktikan kemampuannya untuk memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dengan majoriti besar seperti dihadapi Datuk Seri Najib Razak pada zaman media sosial ini.

“Kalau zaman beliau ada internet, ada blog, ada segala bagai media sosial seperti hari ini, saya teringin nak tengok sama ada beliau masih boleh menang mudah 2/3,” katanya dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Pemuda Umno hari ini.

Menteri belia dan sukan itu mengingatkan pengerusi Pakatan Harapan itu tidak perlu mendabik dada dengan kejayaan Barisan Nasional (BN) memenangi majoriti besar sepanjang beliau menerajui negara dari 1981 hingga 2003.

“Acap kali beliau mendabik dada dan mengingatkan kita akan kejayaan beliau memenangi 5 pilihan raya umum, setiap kali dengan majoriti 2/3. Nostalgia dongeng sekali lagi dijaja kononnya ini bukti beliau pemimpin yang popular, yang hebat berbanding sekarang kerana majoriti 2/3 sukar diperolehi.

“Mereka yang hanyut dengan nostalgia dongeng ini lupa persekitaran politik zaman dahulu jauh beza berbanding hari ini.”

Beliau berkata, era pentadbiran Dr Mahathir jauh berbeza dengan zaman kepimpinan Najib kerana bekas perdana itu menggunakan pendekatan terlalu ketat sehingga beliau digelar pemerintah “kuku besi” yang tidak mengamalkan demokrasi.

“ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) dijadikan senjata untuk menahan individu-individu yang dirasakan (menjadi) ancaman politik tanpa perlu dibicara.

“Auku (Akta Universiti dan Kolej Universiti) dijadikan pendinding untuk menghalang mahasiswa bersuara.

“Dalam parti, kerajaan dan negara wujud ‘culture of fear’. Kuku besi. Sekarang dia bercakap macam dia orang suci dan kita pula yang zalim dan diktator,” katanya.

Khairy berkata, BN boleh mencapai kemenangan besar pada zaman pemerintahan Dr Mahathir kerana media dikawal terlalu ketat.

“Media arus perdana dikawal sepenuhnya, media alternatif kurang ada. Segala ‘spin’ dan cerita semua ditentukan beliau, yang tak ikut telunjuk terus masuk penjara.

“Dulu tiada kebebasan bersuara, baik di luar mahupun di dalam parti. Surat khabar yang kritikal ditutup.

“Pengkritik-pengkritik politik dicekup dan dihumban ke penjara dalam Ops Lalang. Bila nak tutup mulut lawan, berlakulah tragedi Memali konon atas alasan keselamatan negara. Mahkamah dikawal sepenuhnya sehingga ketua hakim negara dipecat tanpa sebab kukuh.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.