Lagi kanak-kanak dihalang ke sekolah kerana pasport

Loh Wei Hun (barisan belakang, 4 dari kiri) bersama ibu bapanya dan 7 kanak-kanak tanpa kerakyatan lain yang diminta menunjukkan pasport untuk mendaftar ke sekolah.
Loh Wei Hun (barisan belakang, 4 dari kiri) bersama ibu bapanya dan 7 kanak-kanak tanpa kerakyatan lain yang diminta menunjukkan pasport untuk mendaftar ke sekolah.

GEORGE TOWN: Seramai 7 kanak-kanak tanpa kerakyatan yang dihalang bersekolah terpaksa berkumpul di Jabatan Pendidikan Pulau Pinang semalam untuk “merayu” kepada pihak berkuasa agar membenarkan mereka bersekolah.

Ibu bapa mereka terkejut apabila diberitahu mereka perlu mengemukakan pasport anak mereka jika mahu mendaftar ke sekolah.

Kesemua 7 kanak-kanak itu, berusia antara 7 dan 12 tahun, dilahirkan di Malaysia. Salah satu ibu bapa mereka merupakan warganegara Malaysia.

Situasi itu berlaku walaupun Jabatan Imigresen menafikan pihaknya mengeluarkan arahan sebegitu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga menggesa sekolah membenarkan anak tanpa kerakyatan bersekolah.

Seorang bapa, Loh Wei Hun, berkata tidak masuk akal dan mengarut untuk meminta pasport kedua-dua anaknya kerana mereka tiada kerakyatan walaupun dilahirkan di Malaysia.

Anaknya, Lim Choon Yik, 7, sepatutnya memulakan Tahun 1 semenatara anak keduanya, Lim Choon Ling, 6, mula bersekolah tahun depan.

Ibu mereka, Zheng Rui, 36, seorang warganegara China.

Loh bagaimanapun berkata beliau dan Zheng Rui tidak mendaftarkan perkahwinan mereka 10 tahun lepas.

“Saya sangat gembira apabila mendapat tahu daripada berita, kanak-kanak tanpa kerakyatan boleh bersekolah.

“Tetapi apabila saya tiba di sini, seorang wanita di kaunter menunjukkan surat daripada Jabatan Imigresen yang meminta pasport daripada pelajar tanpa kerakyatan.

“Ini tidak masuk akal dan mengarut,” kata peniaga berusia 40 tahun itu apabila ditemui di pejabat Jabatan Pendidikan di Bukit Jambul di sini, semalam.

Surat pekeliling dikeluarkan Jabatan Imigresen.
Surat pekeliling dikeluarkan Jabatan Imigresen.

Beliau kemudian menunjukkan kepada pemberita surat Jabatan Imigresen yang ditunjukkan pegawai Jabatan Pendidikan Pulau Pinang kepadanya.

Turut hadir bersama kumpulan itu semalam ialah aktivis PKR Kumaresan Arumugam.

Kumaresan berkata kanak-kanak yang menunggu untuk didaftarkan Tahun 1 hanyalah satu sisi daripada isu itu.

Katanya, kanak-kanak ini juga diberitahu untuk menamatkan persekolahan awal daripada sepatutnya, dan ini juga menimbulkan kebimbangan.

Salah seorang kanak-kanak, Tan Ping Siew yang berusia 12 tahun dan berada pada Tahun 6, diberitahu untuk menamatkan persekolahan separuh jalan kerana tidak mempunyai pasport.

“Setiap kanak-kanak berhak untuk menerima pendidikan. Menghalang mereka memperoleh pendidikan adalah pencerobohan terhadap hak-hak mereka.

“Jabatan Imigresen sudah melampaui bidang kuasanya dengan mengeluarkan pekeliling keada Jabatan Pendidikan.

“Kami mahu Jabatan Imigresen serta merta membatalkan pekeliling itu. Jika tidak, kami akan saman Jabatan Imigresen bagi pihak kanak-kanak ini,” kata Kumaresan.

Keluarga yang menghadapi isu berkaitan kanak-kanak tanpa kerakyatan boleh menghubungi Kumaresan di talian 014-945 9621.

Semalam, Jabatan Imigresen menafikan pihaknya mengeluarkan pekeliling yang melarang kanak-kanak yang diklasifikasi sebagai bukan warganegara daripada bersekolah di negara.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata semua kanak-kanak berstatus demikian dibenarkan mendaftar ke sekolah apabila semua dokumen yang diperlukan Kementerian Pendidikan lengkap.

Semalam, Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata semua sekolah perlu mematuhi arahan menteri pendidikan yang membenarkan kanak-kanak tanpa kerakyatan bersekolah, kata timbalan perdana menteri.

Menurut Zahid, ibu bapa anak tanpa kerakyatan itu boleh merujuk Pejabat Pendidikan Negeri atau Kementerian Pendidikan jika sekolah melarang kanak-kanak itu bersekolah.

“Apabila menteri berkenaan keluarkan arahan, maka pematuhan hendaklah dibuat di sekolah berkenaan. Soal memperolehi dokumen, sijil kelahiran, rekod kelahiran ialah kuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).”

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kanak-kanak tanpa kewarganegaraan boleh menghadiri sesi persekolahan walaupun permohonon kerakyatan mereka masih dalam proses.