Siasatan Pastor Koh henti selepas polis dakwa suspek

Pastor-KohKUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menghentikan siasatan awam mengenai kehilangan Pastor Raymond Koh, susulan penahanan seorang suspek minggu lalu.

Pengerusi panel siasatan awam Suhakam, Datuk Mah Weng Kwai berkata, pihaknya mendapat surat Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memaklumkan pemandu sambilan Uber bernama Lam Chang Nam dihadapkan ke mahkamah semalam.

Pesuruhjaya Suhakam itu berkata, Seksyen 12 Akta Suhakam menyatakan siasatan awam perlu dihentikan jika ia menjadi kes mahkamah.

“Kami (panel siasatan Suhakam) memutuskan memberhentikan siasatan sehingga notis yang akan dimaklumkan kelak. Saya percaya kedua-dua pihak memerlukan masa untuk lakukan siasatan,” katanya pada hari ke-12 siasatan awam ke atas kehilangan Koh di ibu pejabat Suhakam hari ini.

“Seorang suspek dituduh di Mahkamah Petaling Jaya pada 15 Januari (semalam). Penahanan dibuat pada 12 Januari lalu. Namun, kami tidak tahu sama ada dia direman atau sudah dibebaskan dengan jaminan.”

Lam ditahan di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan, iaitu menculik dan melarikan seseorang dengan niat mengurungnya secara sulit dan salah. Jika sabit kesalahan, hukuman penjara maksimum 7 tahun dan denda boleh dikenakan.

Lam pernah didakwa di mahkamah pada 15 Mac tahun lalu, atas tuduhan memeras ugut anak lelaki Koh berusia 33 tahun, Jonathan Koh Szu Hao dengan meminta wang RM30,000 untuk membebaskan bapanya. Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat dalam keterangannya sebelum ini berkata, Lam didapati tiada kaitan dengan penculikan Koh kerana dia sekadar mengambil kesempatan atas kejadian itu dengan memeras ugut mereka.

Susanna Liew yang merupakan isteri Koh terkejut dengan keputusan Suhakam hari ini kerana tidak dimaklumkan polis mengenai perkembangan terbaru itu.

“Ia sangat mengejutkan untuk kami sekeluarga. Kami tidak ada idea ia akan berlaku, harapan kami pergi ke Suhakam untuk dapatkan jawapan mengenai penculikan Pastor Koh.

“Ia sangat mengecewakan dari sudut hak asasi untuk mendapatkan maklumat tetapi disekat dan dinafikan, kami harap akan ada keadilan.

“Kami masih berharap dengan sistem yang ada, tetapi kami bimbang harapan ini dihancurkan. Saya perlu mendapatkan nasihat peguam kami bagaimana untuk teruskan perkara ini.”

Koh diculik di Jalan SS4B/10, kurang 100m dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Februari 2017, ketika beliau memandu keretanya ke rumah rakan di Kelana Jaya.

Video insiden itu menunjukkan ia satu rancangan rapi melibatkan lebih 10 individu bertopeng dan 7 kenderaan di siang hari.

Keluarga Koh menawarkan ganjaran RM100,000 untuk sebarang maklumat. Sehingga kini, tiada permintaan wang tebusan atau komunikasi dengan penculik, memberi gambaran wang bukan motif penculikan itu.