SPRM: Pemain badminton disiasat BWF bukan di bawah BAM

SPRM
Timbalan Pesuruhjaya Operasinya, Datuk Seri Azam Baki pada sidang medianya selepas menghadiri program gerah dan pelancaran kempen gempur bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Auditorium DBKL.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan seorang pemain persendirian badminton negara sedang disiasat Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kerana disyaki terbabit dalam skandal mengatur perlawanan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata suspek bukan pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Katanya, SPRM akan meneliti kes itu kerana ia mempunyai unsur rasuah.

“Kes itu masih dalam peringkat siasatan. Kami difahamkan BWF sedang lakukan siasatan ke atas pemain itu,” katanya selepas menghadiri program gerah dan pelancaran kempen gempur bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur hari ini.

Berita Harian Online hari ini melaporkan seorang pemain profesional sedang disiasat BWF kerana disyaki terbabit dalam aktiviti mengatur perlawanan dan difahamkan BWF mengesyaki pemain itu berdasarkan gaya hidupnya yang dikatakan mewah.

Sumber yang dipetik laporan itu berkata, BWF menggantung pemain berusia 20-an itu daripada menyertai sebarang kejohanan sehingga siasatan selesai, sejak bulan lalu selepas kegiatan mengatur perlawanan semakin ketara.

Sumber itu berkata, BWF mula memantau pergerakan pemain itu yang kali terakhir menyertai kejohanan antarabangsa di negara jiran sejak Februari 2017 dan memanggilnya untuk siasatan lanjut hujung tahun lalu.

BWF yang dikatakan mempunyai bukti mencukupi, termasuk hasil pemeriksaan ke atas telefon bimbitnya, akan mengadakan sesi sebutan kes di Singapura akhir bulan ini untuk suspek membela diri.

Azam berkata, kes ini kali pertama pemain badminton negara disiasat BWF.

“Nama dan umur tidak boleh beritahu. Ini isu yang bukan biasa berlaku,” katanya.