Prasarana berjaya tahan pencabul dalam LRT

Prasarana berjaya tahan pencabul dalam LRT

Lelaki yang mencabul gadis di dalam LRT Disember lalu ditahan polis bantuan Prasarana selepas 2 bulan melakukan pemantauan CCTV.

cabul-lrt
Gambar facebook.
KUALA LUMPUR:
Selepas lebih 2 bulan membuat intipan terhadap seorang lelaki yang disyaki mencabul kehormatan seorang penumpang wanita di dalam Transit Aliran Ringan (LRT) dari Stesen Pasar Seni ke Stesen Masjid Jamek pada 14 Disember lepas, akhirnya suspek itu ditahan Sabtu lepas.

Prasarana dalam kenyataan hari ini berkata lelaki berusia 31 tahun itu ditangkap oleh anggota unit tindakan khas (SAT) Polis Bantuan Prasarana setelah dikesan sedang keluar dari tren di Stesen Monorel Imbi pada 1.35 tengah hari.

Menurut kenyataan itu, lelaki itu kemudian diserahkan kepada polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada hari yang sama.

Dalam kejadian pada 14 Disember lepas, mangsa yang berumur 26 tahun mendakwa dicabul lelaki berkenaan, mengejar suspek bersama polis bantuan setelah tiba di stesen Masjid Jamek namun suspek melarikan diri.

“Bertindak atas kejadian, pasukan SAT melancarkan gerakan menjejaki suspek dengan memuat turun gambar yang dikenal pasti menerusi rakaman kamera litar tertutup dan pemantauan dilakukan di setiap rangkaian pengangkutan kendalian Rapid KL sehingga suspek diberkas,” kata kenyataan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.