
Beliau berharap pembinaan bangunan tambahan itu dapat mengurangkan kesesakan pesakit di hospital yang berusia 129 tahun itu.
Menerusi lawatan mengejutnya ke Hospital Kajang pada 2015, tanpa pengetahuan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam, Najib dapat melihat sendiri keadaan sebenar hospital tersebut.
“Apabila buat cara sebegini, saya dapat lihat keadaan sebenar, bukan keadaan yang disusun semasa dilawat perdana menteri.
“Keadaan bangunan uzur. Bererti bangunan seperti ini perlu dilakukan tokok tambah gantian.
“Saya minta jika boleh dipercepatkan siap adalah lebih baik,” katanya berucap melancarkan majlis pecah tanah Projek Naik Taraf Hospital Kajang (Kompleks Wanita dan Kanak-Kanak) hari ini.
Kompleks Wanita dan Kanak-Kanak itu dibina dengan jarak 800 meter dari tapak hospital sedia ada melibatkan 272 katil, 14 bilik bersalin, 6 bilik bedah serta kemudahan klinik pakar dan pusat rawatan harian.
Najib berkata, kelulusan projek menaik taraf Hospital Kajang itu diumumkan dalam Bajet 2016 yang akan memberi manfaat kepada hampir 1.2 juta penduduk Kajang dan sekitar Hulu Langat.
“Inilah ‘Langkah Kajang’ Barisan Nasional yang boleh memanfaatkan rakyat. Bukan sahaja hospital, malah MRT (Transit Aliran Massa) dari Sungai Buloh ke Kajang sepanjang 51km,” katanya.
Beliau berkata, perkhidmatan kesihatan yang disediakan di negara ini antara yang terbaik berbanding negara lain.
Perkhidmatan kesihatan di hospital dan klinik kerajaan hanya dikenakan bayaran minimum dengan anggaran RM50 untuk kos bersalin serta RM1 untuk perkhidmatan rawatan pesakit luar.
“Selain itu, nisbah satu doktor kepada 400 pesakit juga dijangka tercapai pada 2020 sebagai usaha menambah baik perkhidmatan kita,” katanya.
Hadir sama pada majlis pecah tanah itu Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.