Sokong IS, hukuman penjara bekas penjaga zoo kekal 10 tahun

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 10 tahun terhadap bekas penjaga zoo yang mengaku bersalah memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS dan memiliki item berkaitan pengganas, 2 tahun lalu.

Panel 3 hakim yang dipengerusikan Datuk Wira Mohtarudin Baki menolak rayuan Mohd Shahrullizam Ramli, 32, terhadap hukuman penjara yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi selepas mendapati rayuannya tidak mempunyai merit.

“Rayuan ditolak, hukuman Mahkamah Tinggi dikekalkan,” kata Hakim Mohtarudin yang bersidang bersama Hakim-Hakim Datuk Yaacob Md Sam dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Pada 15 Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas dan penjara 3 tahun untuk pertuduhan memiliki item berkaitan pengganas terhadap Mohd Shahrullizam dan memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh tangkap pada 19 Julai 2016.

Terdahulu Mohd Shahrullizam yang tidak diwakili peguam merayu supaya hukuman 10 tahun itu dikurangkan kepada 6 atau 7 tahun atas alasan dia tidak menyalurkan dana dan ideologi berhubung pengganas serta tidak berbaiah.

“Saya berada dalam perbualan aplikasi Telegram itu hanya 3 bulan sahaja, sebelum ditangkap. Ramai kawan-kawan saya yang menghadapi tuduhan sama (memberi sokongan kepada kumpulan pengganas) dijatuhkan hukuman penjara 6 tahun atau 7 tahun,” kata bapa kepada seorang anak itu.

Hakim Mohtarudin bertanyakan kepada Mohd Shahrullizam adakah dia tahu hukuman maksimum bagi kesalahan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas, lelaki itu menjawab “30 tahun”.

“Awak kata 10 tahun itu tinggi. Hukuman itu 1/3 daripada hukuman maksimum. Kesalahan yang awak lakukan ini serius. Jangan bermain dengan api, “ kata Hakim Mohtarudin kepada Mohd Shahrullizam yang hanya berdiam diri.

Timbalan Pendakwa Raya Wong Poi Yoke berhujah, hukuman Mahkamah Tinggi munasabah serta tidak wajar diganggu dan perayu (Mohd Shahrullizam) juga aktif dalam perbualan melalui aplikasi Telegram yang dikenali sebagai kumpulan Gagak Hitam.

Katanya perayu juga ada membuat komen dalam Telegram itu dengan memuji kejadian melibatkan bom.

Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS melalui aplikasi Telegram dengan menggunakan nama ”Sharul”, di alamat 177-B5 Batu 11, Gombak antara 25 Mac hingga 29 Jun 2016.

Dia dituduh mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk melakukan kesalahan itu.

Bagi pertuduhan ke-2 di tempat sama pada 19 Julai 2016, tertuduh didakwa memiliki item berunsur keganasan yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas termasuk pelekat kereta berlogo IS, bendera dan lilitan kepala.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan itu membawa hukuman maksimum penjara 7 tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana item terbabit.