
Beliau berkata tuduhan mengatakan beliau memainkan peranan dalam penutupan itu tidak munasabah, dan perniagaan itu memang ditakdirkan ditutup kerana kurang mendapat sambutan.
“Jangan salahkan perdana menteri atas semua perkara yang berlaku. Tutup kedai roti pun salahkan PM. Itukan pelik. Saya baru balik dari Langkawi dan kedai Dr Mahathir di Telaga Harbour lengang pada siang hari.
“Jika pada waktu pagi orang tak beli roti anda, maka kenapa mereka perlu membelinya pada waktu malam? Lebih baik mereka makan di restoran. Itu salah PM jugakah?
“Bagaimana mahu berjaya jika begitu? Saya fikir kalau kucing tidak beranak, tentu salah PM juga,” katanya disambut deraian ketawa hadirin di Tasek Gelugor, hari ini.
Mahathir yang menafikan beliau memiliki saham dalam The Loaf, kemudiannya didedahkan oleh Najib memiliki RM10 juta saham dalam syarikat tersebut.
Mahathir kemudiannya berkata beliau mahu menjual syarikat itu kerana keadaan ekonomi yang buruk.
The Loaf yang membuka kedai pertamanya di Langkawi pada 2006, memberhentikan operasi pada 12 April tahun ini.
Mahathir yang merupakan pengerusi Pakatan Harapan, bertanding di kerusi Parlimen Langkawi pada pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei depan. Beliau dicabar oleh calon BN, Nawawi Ahmad dan Zubir Ahmad daripada PAS.