Zahid pula ziarah Dr M sempena Ramadan

Semoga pertemuan ini memberi kebaikan kepada semua, kata Zahid dalam catatan di laman Facebook beliau. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Pemangku presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi hari ini melawat bekas bosnya Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pertemuan pertama mereka selepas pilihan raya umum 9 Mei lepas.

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata, pertemuan itu bersempena bulan Ramadan sekarang.

“Semoga pertemuan ini memberi kebaikan kepada semua,” katanya dalam catatan di laman Facebook beliau.

Pada Julai tahun lepas, Zahid yang pada ketika itu merupakan menteri dalam negeri, mencetuskan kontroversi apabila mendakwa beliau mempunyai bukti nama sebenar Dr Mahathir ialah Mahathir a/l Iskandar Kutty, dan dia bukan orang Melayu.

“Kad pengenalan birunya mencatatkan nama beliau Mahathir a/l Iskandar Kutty. Nombor KPnya ialah 2232519.

“Bos Jabatan Pendaftaran Negara berikan saya maklumat ini. Tidak hairanlah beliau kata orang Melayu mudah lupa,” katanya dalam satu perjumpaan dengan ahli Umno.

Zahid pernah berkhidmat di bawah kepimpinan Dr Mahathir sebagai perdana menteri pada dekad 1990-an.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga merupakan anggota kumpulan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam krisis politik Umno 1998, dan pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada tahun yang sama sewaktu krisis Mahathir-Anwar itu memuncak.

Isnin lepas, Dr Mahathir menerima kunjungan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang diiringi Menteri Besar Terengganu yang baru, Dr Samsuri Mokhtar dan bekas setiausaha agung parti itu, Datuk Mustafa Ali.