
“Setelah 17 tahun ‘berkhidmat untuk negara’ dengan syarikat berkaitan kerajaan, bermula dengan Kumpulan UEM-Renong (2001-2004), Telekom Malaysia (2004-2008), Maybank (2008-2013), Kerajaan Malaysia (2013-2016) dan PNB (2016-2018), saya mengambil peluang ini untuk berehat sebentar dan meluangkan masa bersama keluarga,” kata beliau menerusi mesej aplikasi WhatsApp, hari ini.
Beliau juga bersara dari Pemegang Amanah Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB).
Terdahulu, PNB menerusi kenyataan media mengumumkan persaraan Abdul Wahid dan juga pelantikan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz sebagai pengerusi Kumpulan PNB yang baru bermulai 1 Julai depan.
Mengulas kenyataan itu, Abdul Wahid berkata ini bagi membolehkan peralihan kepimpinan lembaga pengarah PNB dengan lancar dan teratur untuk memastikan urusan pelaburan dan operasi Kumpulan PNB tidak terjejas.
Pada masa sama, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Zeti atas pelantikan sebagai pengerusi PNB ke-4 sejak penubuhan PNB pada 1978.
Beliau turut menyifatkan proses itu sebagai kesinambungan tradisi kepimpinan PNB daripada kalangan mereka yang ternama dan mempunyai reputasi integriti serta berkebolehan tinggi, bermula daripada Allahyarham Tun Ismail Ali dan kemudiannya Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.
“Sebagai pengerusi ketiga, saya berbesar hati menyerahkan tugas kepada Tan Sri Zeti dalam kedudukan kewangan PNB terus kukuh dan reputasi kekal sebagai sebuah institusi nasional berintegriti.
“Saya percaya Tan Sri Zeti dan ahli lembaga pengarah serta presiden & ketua eksekutif kumpulan, Datuk Abdul Rahman Ahmad dan barisan pengurusan kumpulan akan terus dapat menerajui Kumpulan PNB mencapai kejayaan yang lebih tinggi lagi,” katanya.
Abdul Wahid turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada ahli lembaga pengarah, barisan pengurusan dan seluruh warga Kumpulan PNB atas segala sokongan dan bantuan yang telah diberikan kepadanya sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.
Ucapan terima kasih itu turut beliau rakamkan kepada barisan pengerusi, ahli lembaga pengarah, ketua pegawai eksekutif, barisan pengurusan dan seluruh warga syarikat-syarikat strategik dan teras PNB atas sokongan terhadapnya dan PNB selama ini.
“Terima kasih juga kepada rakan semua yang banyak menyokong dan membantu saya selama ini. Saya memohon maaf sekiranya saya ada membuat salah atau terkasar bahasa semasa menjalankan tugas.
“Selamat maju jaya kepada Kumpulan PNB. Saya percaya di bawah kepimpinan Tan Sri Zeti sebagai pengerusi dan Datuk Abdul Rahman sebagai presiden dan ketua eksekutif kumpulan, PNB akan terus berjaya sehingga mencapai aspirasinya untuk menjadi sebuah firma pelaburan distinktif bertaraf dunia.”