2 suspek sorok bayi dalam peti sejuk direman 7 hari

Polis masih menunggu laporan bedah siasat terhadap Adam Rayqal dan mengenal pasti motif pembunuhannya.

KUALA LUMPUR: Dua suspek kes bunuh bayi lelaki berusia 5 bulan yang ditemui mati di rumah pengasuhnya di Jalan Nahkoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves, malam tadi, direman 7 hari bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daeah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata pihaknya membuat permohonan reman terhadap kedua-dua suspek itu di Mahkamah Selayang, pagi tadi.

“Mahkamah membenarkan kedua-dua suspek yang berusia 33 dan 36 tahun itu direman selama 7 hari bermula hari ini sehingga 10 Julai.

“Setakat ini, kami masih menunggu laporan bedah siasat terhadap mangsa dan mengenal pasti motif pembunuhan. Sehingga kini, tiada senjata ditemui di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Malam tadi, Bernama melaporkan Adam Rayqal dilaporkan hilang selepas pengasuhnya mendakwa tersalah serah bayi berkenaan kepada seorang lelaki yang menyamar sebagai bapanya di rumah suspek terbabit di Kampung Nakhoda, Batu Caves kira-kira 6.30 petang, semalam.

Bagaimanapun, siasatan polis menemui mayat bayi berkenaan disorokkan dalam bahagian sejuk beku peti ais 2 pintu di rumah pengasuh terbabit, kira-kira 11 malam tadi setelah mendapati terdapat keraguan pada keterangannya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

 

Bayi 5 bulan didakwa hilang, ditemui dalam peti sejuk pengasuh