
Menterinya Gobind Singh Deo berkata ini susulan kejayaan penyiaran Piala Dunia 2018 yang disifatkan sebagai satu kejayaan besar kepada stesen berkenaan.
“Itu adalah satu perkara dibawa kepada perhatian kita, tetapi bukan untuk tahun ini kerana ia mungkin memakan dana yang besar, bukan juga tahun depan, tetapi tahun-tahun akan datang,” katanya kepada ketika menghadiri program Jom Bola Perlawanan Akhir Piala Dunia 2018 bersama Menteri KKMM di Padang Majlis Perbandaran Subang Jaya, Puchong, malam tadi.
Gobind berkata KKMM komited untuk membawakan lebih banyak acara sukan secara langsung bagi meningkatkan kualiti stesen tv kerajaan itu.
Kerajaan melalui RTM menyiarkan 41 daripada 64 perlawanan dengan kos sebanyak RM30 juta untuk membeli hak penyiaran Piala Dunia FIFA 2018 di Rusia bermula 14 Jun lepas hingga hari ini (15 Julai).
Siaran tersebut mendapat tajaan berjumlah RM30 juta menerusi Maxis Bhd dan AirAsia Bhd.
Gobind berkata rancangan menaiktaraf RTM juga melibatkan projek Media City di Angkasapuri yang dijangka siap 2 bulan lagi.
“Suka saya katakan bahawa dengan siapnya Media City dengan dilengkapi peralatan dan teknologi moden akan membantu menaiktaraf kualiti penyiaran RTM,” katanya.
Lebih 1,000 hadirin terdiri daripada warga Puchong dan kawasan sekitar bersama-sama menonton perlawanan akhir Piala Dunia 2018 di 2 layar gergasi.
Perlawanan akhir yang menyaksikan aksi pasukan Perancis dan Croatia itu bermula 11 malam waktu Malaysia.
Gobind, Ahli Parlimen Puchong memilih menyokong pasukan Perancis dengan ramalan 2-0.
Katanya lagi beliau sempat bertemu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan dalam pertemuan itu Dr Mahathir menyatakan beliau menyokong pasukan Croatia.