Najib: Pan Island Link lebih mahal daripada ECRL dibantah PH

Najib Razak juga berkata projek itu jauh lebih mahal berbanding projek KIDEX di mana DAP pernah mendakwa ianya lebuhraya termahal di Malaysia.

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak mendakwa projek Lebuhraya Pan Island Link (PIL-1) di Pulau Pinang oleh kerajaan baharu lebih mahal berbanding projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dikecam Pakatan Harapan (PH).

Bekas perdana menteri itu berkata beliau difahamkan kerajaan negeri sudah memohon RM1 bilion dari kerajaan Persekutuan sebagai modal permulaan projek tersebut.

“Projek PIL-1 sepanjang 19.5 km yang dulunya dianggarkan menelan kos RM7.5 bilion (RM385 juta bagi setiap km).

“Dan kini kos dikatakan sudah meningkat ke RM9 bilion (RM461 juta setiap km), walaupun penduduk Pulau Pinang membantah projek ini kerana ia melibatkan kos terlalu tinggi dan tidak diperlukan,” katanya menerusi kiriman Facebook.

Beliau berkata projek ECRL sering dikecam PH sebagai satu pembaziran dan terlalu mahal.

“PH turut mendakwa harga RM55 bilion untuk 688 km, iaitu RM80 juta 1 km, terlalu mahal walaupun projek ini termasuk kos keretapi, kos untuk membina 27 stesen serta pembinaan terowong sepanjang 50 km.

“Dan akan memberi manfaat kepada 5 negeri yang selama ini ketinggalan dari segi pembangunan dan berjuta-juta rakyat Malaysia.”

Katanya, projek itu jauh lebih mahal daripada kos RM161 juta bagi 1 km untuk projek Lebuhraya Kinrara Damansara (KIDEX) di mana DAP pernah mendakwa ianya lebuh raya termahal di Malaysia dan membazir.

Hari ini, media melaporkan hari pertama persidangan DUN Pulau Pinang bermula dengan perhimpunan aman oleh sekumpulan penduduk yang membantah projek PIL-1.

Kira-kira 30 penduduk itu berhimpun sejak pukul 9.00 pagi dengan membawa beberapa sepanduk yang tertulis “Rakyat Pulau Pinang Tak Nak PIL-1”, “Development Not Developers” dan “Say No To SRS”.

Bantahan itu bagi mendesak kerajaan negeri menangguh atau membatalkan projek lebuh raya tersebut yang dikatakan bakal memusnahkan alam sekitar dan memberi kesan kepada penduduk setempat.

Pembinaan PIL-1 merupakan sebahagian daripada projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang akan dilaksanakan di bawah fasa 1.

Lebuh raya 2 hala sepanjang 20 km itu dirancang dibina dengan 6 lorong dan menghubungkan Persiaran Gurney ke Bayan Lepas dengan 6 persimpangan.