Peguam bekas ketua perisikan hentam SPRM

PETALING JAYA: Firma guaman mewakili bekas ketua perisikan dan 7 pegawai bawhnya hari ini menghentam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana kenyataan-kenyataan yang didakwa memburukkan anak guamnya.

Azam Aziz Shaharudinali & Co mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap agensi anti-rasuah itu.

Firma itu dalam satu kenyataan berkata kenyataan-kenyataan itu, yang disiarkan media, sama sekali “tidak perlu dan tidak wajar”.

Mereka mendakwa ia juga meletakkan anak guamnya diperkatakan dan dibenci orang ramai.

“Kami melihat tindakan itu satu taktik terdesak untuk mempengaruhi pendapat orang ramai supaya mengutuk dan mencemuh anak guam kami sebelum sebarang prosiding jenayah.”

Pada sidang media semalam, SPRM mengumumkan wang sebanyak AS$4.7 juta serta barangan lain, yang membawa jumlah keseluruhan sebanyak AS$6.3 juta, dirampas di sebuah pangsapuri di Cyberjaya semalam dan disyaki berkaitan kes salahguna kuasa bekas ketua pengarah Organisasi Risikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid.

Peguam hari ini berkata Hasanah tidak dapat menjawab kenyataan-kenyataan SPRM dengan berkesan kerana dia direman.

Mereka juga berkata mereka tidak dibenarkan bertemunya.

Firma guaman itu berkata mereka diarah untuk mengkaji pilihan undang-undang yang ada untuk anak guamnya.

“Kami belum terima arahan tetapi kami ingin maklumkan pada pihak berkenaan bahawa semua pilihan undang-undang terhadap mereka sedang dipertimbangkan.”

Bekas ketua perisikan itu menerjah ke muka depan akhbar kerana kontroversi suratnya kepada Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat sebelum pilihan raya umum lepas untuk meminta Washington menyokong kerajaan Barisan Nasional.

Hasanah ditahan SPRM pada awal minggu ini berkaitan dakwaan penggelapan dana kerajaan untuk pilihan raya umum 9 Mei.

Beliau sedang ditahan reman untuk siasatan.