Azmin dakwa BR1M untuk raih undi dalam pilihan raya

Azmin Ali berkata, pemberian BR1M tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya kerajaan PH membantu golongan B40 dengan memperkasa dan menambah pendapatan mereka.

SHAH ALAM: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) menentang pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kerana prinsip salah dan mengandungi elemen rasuah politik.

“Prinsip BR1M itu sebenarnya untuk memberi kepada orang-orang Umno bagi tujuan mendapat undi di dalam pilihan raya.

“Berbeza dengan Selangor, kita tidak menyogok dengan wang tunai, kita ‘empower’ mereka supaya boleh berdiri di atas kaki mereka sendiri,” katanya semasa membahas titah ucapan Sultan Selangor di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Datuk Mohd Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) membantah dakwaan Azmin (PH-Bukit Antarabangsa) dengan menggesanya menunjukkan bukti.

Shamsudin berkata, program bantuan tunai itu dilaksanakan melalui sistem penyampaian kepada penerima yang layak tanpa sebarang diskriminasi oleh Umno.

Azmin tidak menyahut cabaran membuktikan dakwaannya, sebaliknya terus menuduh pemberian BR1M ialah kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk meningkatkan taraf ekonomi golongan berpendapatan rendah (B40) sehingga menyebabkan kerajaan terpaksa memperuntukkan hampir RM8 bilion bagi program itu.

Katanya, kerajaan PH yang membantu golongan B40 menambah pendapatan mereka dan memasuki kelas menengah (M40).

“Dengan adanya M40 yang besar, kek ekonomi akan terus melebar dan kita dapat kurangkan jurang ekonomi dalam negara. Umno tak lakukan…dengan memberikan ‘cash’ tidak menyelesaikan masalah, sebab itu saya kata ianya ada elemen rasuah politik di situ.”

Sementara itu, di luar DUN, Azmin ditanya mengenai tindakan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menarik balik tuduhan rasuah ke atas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung pembelian sebuah lot tanah dan banglo.

“Saya percaya Jabatan Peguam Negara akan membuat penjelasan tentang perkara ini supaya tidak timbul tafsiran yang boleh merosakkan persepsi umum terhadap institusi-institusi seperti Jabatan Peguam Negara.”

Semalam, Lim dan ahli perniagaan, Phang Li Koon dibebaskan daripada pertuduhan rasuah pada 2016 selepas pendakwa raya menggugurkan kes itu.

Lim dituduh menggunakan jawatan awamnya untuk meluluskan permohonan sebuah syarikat dalam penukaran status tanah pertanian kepada perumahan, 2 tahun lalu.

Beliau juga dituduh menggunakan kedudukannya untuk membeli sebuah banglo daripada Phang pada harga RM2.8 juta berbanding harga pasaran RM4.27 dan Phang dituduh bersubahat dengannya.

SPRM kemudiannya dilaporkan berkata, ia “amat terkejut” dengan keputusan mahkamah membebaskan bekas ketua menteri Pulau Pinang itu daripada pertuduhan rasuah.