Kabinet setuju pinda perlembagaan turun umur mengundi ke 18 tahun

PUTRAJAYA: Kabinet hari ini bersetuju untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur minimum layak mengundi daripada 21 tahun ke 18 tahun, kata menteri belia dan sukan.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata keputusan itu dibuat selepas mendapat persetujuan seluruh anggota jemaah menteri dan rundingan dengan pihak peguam negara.

Menurunkan had umur minimum layak mengundi daripada 21 tahun ke 18 tahun salah satu daripada janji manifesto pilihan raya Pakatan Harapan.

Bagaimanapun, cadangan itu perlu mendapat sokongan 2/3 wakil rakyat di Parlimen untuk diwartakan.

Syed Saddiq berkata beliau akan berjumpa dengan wakil ketua pemuda semua parti politik untuk mendapatkan pandangan dan sokongan yang diperlukan.

Beliau menambah beberapa pindaan lain juga akan berlaku ekoran perubahan had umur itu.

“Terdapat juga beberapa pindaan lain dalam perlembagaan akan berlaku selepas had undi 18 berkuatkuasa.

“Pindaan yang terlibat hanya merangkumi soal pilihan raya yang saya kira Suruhanjaya Pilihan Raya lebih arif mengenainya,” katanya.