
Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata mesyuarat itu akan diadakan di Terengganu dan akan disertai pimpinan tertinggi parti termasuk Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Esok malam baru akan bincang. Tetapi tidak pasti akan diputuskan esok atau tidak.
“Tetapi kita akan umum sebelum penamaan calon,” katanya ketika dihubungi FMT.
Sebelum ini, Hadi berkata PAS sedia bertanding pada PRK berkenaan mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya parti pembangkang lain termasuk Umno tidak meletakkan calon.
Hadi yang juga ahli parlimen Marang, mengumumkan perkara itu selepas merasmikan Muktamar Tahunan PAS ke-64, di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, baru-baru ini.
Semalam, Barisan Nasional (BN) mengumumkan tidak akan bertanding dalam PRK Port Dickson menentang Anwar bulan depan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dicapai selepas perbincangan dengan parti komponennya, iaitu Umno, MCA dan MIC.
PRK Port Dickson akan diadakan 13 Oktober ini susulan peletakan jawatan penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah untuk memberi laluan kepada Anwar kembali ke Parlimen.