
Ketika mengingatkan keluhuran undang-undang yang merupakan satu daripada Rukun Negara, beliau berkata, ketidakpatuhan terhadap undang-undang boleh menyebabkan huru-hara dan menyukarkan proses pemulihan.
“Setiap satu perbuatan kita perlu mengikut undang-undang dan peraturan. Bagi perdana menteri atau raja, menteri atau pegawai pentadbir atau polis, tentera, segala tindakan perlu mengikut peraturan-peraturan. Jika tidak mengikut peraturan, maka akan berlaku huru-hara dalam negara kita.
“Ini amat penting sekali kerana kita sedang cuba memulihkan kerajaan pemerintah di dalam negara ini. Jika tidak berpandukan undang-undang, maka pemulihan negara tidak akan berlaku,” katanya ketika perjumpaan perdana menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana, hari ini.
Dr Mahathir berkata, kerajaan memerlukan undang-undang yang luhur dan mulia, serta menjunjung keadilan undang-undang yang tidak menekankan atau mengetepikan mana-mana pihak.
Beliau berkata, tidak ada mana-mana pihak yang boleh membuat sesuka hati atau apa sahaja kerana berkuasa, walaupun di peringkat raja mahupun pemerintah.
Katanya, bangsa bertamadun menerima undang-undang dan peraturan untuk kelangsungan hidup dan pembangunan bangsa.
“Kita tahu kita adalah satu bangsa bertamadun. Orang yang bertamadun, tidak bergerak tanpa peraturan dan undang-undang. Jika kita tidak iktiraf peraturan atau undang-undang, maka kita tidak boleh mendakwa kita bangsa bertamadun,” katanya.
Dr Mahathir berkata, walaupun Malaysia merupakan negara demokrasi, perkara utama adalah semua pihak perlu mematuhi undang-undang yang melindungi rakyat, raja dan pemerintah.
Katanya, hanya undang-undang yang benar-benar melindungi semua pihak perlu diteruskan dan diamalkan.