
Anwar menyifatkan perbuatan memilih pemimpin berdasarkan “cai” itu sebagai buta huruf dan separuh buta kerana ahli seharusnya memilih pemimpin berdasarkan kebolehan calon berkenaan.
“Saya sentiasa arahkan ahli untuk ingat, ada orang pertikai mengapa saya sebut bahawa saya tidak peduli mengenai “cai”, kerana saya peduli lantik yang terbaik.
“Saya tidak mewakili “cai”. Orang yang ikut “cai” adalah buta huruf dan setengah buta. Dalam “cai” itu, kita juga perlu pilih yang terbaik, bukan seluruh barisan. Bagaimanapun itu adalah hak saudara-saudara.
“Pilih yang terbaik iaitu berprinsip, teruji dan idealisme masih terang serta boleh diharap bantu dalam barisan pimpinan,” katanya dalam majlis “Pidato Malaysia Baru”, di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam, malam tadi.
Turut hadir ialah Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor, Aminudin Shari
Ahli Parlimen Port Dickson itu juga menyatakan rasa kecewanya terhadap perjalanan pemilihan parti kerana terdapat pemimpin yang melanggar peraturan dan mengamalkan fitnah.
“Ada orang kata saya garang, sebenarnya kita ungkapkan reformasi tetapi apa yang disaksikan adalah pergelutan, permusuhan, fitnah dan ugutan. Itu berlaku.
“Saya beritahu Datuk Rashid Din, kita tidak peduli, tindakan keras akan dilakukan. Tidak cukup bukti, gantung dulu, tidak cukup bukti, bagi amaran pula,” katanya.
Anwar bagaimanapun menzahirkan rasa gembiranya apabila agenda reformasi yang diperjuangkan PKR, yang dimulakan di jalanan, kini sudah diangkat ke peringkat kerajaan persekutuan melalui Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).
“Sepatutnya kita lebih kental dan lebih hebat, semangat kita. Hal ini kerana agenda paling kuat yang dimulakan reformis PKR, sudah menjadi agenda utama negara.
“Kita yang menjerit, hadapi banyak derita dan penyeksaan, namun usaha kini sudah diterima rakyat dan menjadi agenda arus perdana, reformasi bukan lagi agenda jalanan,” katanya.