
Bekas timbalan perdana menteri itu berkata, ada mesej jelas yang disampaikan kepada mereka dalam pertemuan itu.
“Dalam perjumpaan itu, beliau kata ‘itu (mesej) sangat jelas dan nyata bahawa kamu mesti lompat parti dan sertai PPBM.
“Kita mesti bubarkan Umno,” katanya selepas merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-72 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Bagaimanapun, Zahid berkata, beliau tidak akan membubarkan Umno dan Barisan Nasional (BN) serta melompat parti.
“Saya tidak akan lompat parti dan bubarkan Umno BN. Saya kena tegas.”
Perdana menteri sebelum ini mengalu-alukan ahli Umno menyertai PPBM, tetapi mereka dilarang bertanding sebarang jawatan parti bagi tempoh tertentu.
Semalam, bekas pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang lebih dikenali sebagai Tok Pa menyertai PPBM, selepas lebih sebulan meninggalkan parti itu.
Zahid hari ini enggan mengulas tindakan ahli Parlimen Jeli itu menyertai PPBM.
“Siapa Tok Pa? Saya tak kenal pun,” katanya ringkas.
Mustapa yang lebih 40 tahun bersama Umno meninggalkan parti itu pada 18 September lalu kerana hala tuju Umno tidak lagi selari dengan prinsipnya.
Selain Mustapa, ahli Parlimen Umno yang turut meninggalkan parti itu selepas pilihan raya umum ke-14 lalu ialah Ahli Parlimen Kimanis yang juga bekas menteri luar, Datuk Seri Anifah Aman, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Noor Azmi Ghazali.
Terdahulu, Zahid dalam ucapannya yakin dirinya tidak akan disabitkan kesalahan rasuah atau pecah amanah, jika beliau bersetuju membubarkan Umno dan BN.
“Saya amat yakin jika saya ambil keputusan untuk lompat parti bersama 5 yang lain ke parti yang kerusinya sedikit dan saya bersetuju untuk bubarkan Umno, BN pasti tiada tuduhan.”
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut mengingatkan pemimpin Umno dan parti komponen BN lain supaya bersedia disiasat pihak berkuasa.
“Pasti pemimpin-pemimpin Umno akan terus disiasat, akan turut diheret ke mahkamah. Saya yakin dan pasti.”
Pada 19 Oktober lalu, Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 10 pertuduhan pecah amanah, 8 pertuduhan rasuah berjumlah RM42 juta dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM72 juta.
Bagi 10 tuduhan pecah amanah itu, Zahid sebagai pemegang amanah Yayasan Akal Budi, didakwa melakukan kesalahan itu menggunakan RM20 juta milik yayasan itu yang diamanahkan kepadanya.