Tarik kes Zahid berupa pengkhianatan, mahkamah diberitahu

Tarik kes Zahid berupa pengkhianatan, mahkamah diberitahu

Peguam Ambiga Sreenevasan berkata penarikan balik kes juga menjadikan penemuan hakim bicara tidak selamat selepas pihak pendakwaan berjaya bukti kes prima facie.

Ambiga Sreenevasan
Peguam Ambiga Sreenevasan hadir di hadapan panel Mahkamah Rayuan bagi rayuan Badan Peguam mendapatkan kebenaran mencabar keputusan peguam negara memberikan DNAA kepada Zahid Hamidi dalam kes rasuah. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) menghentikan kes rasuah Zahid Hamidi selepas pembelaan dipanggil dianggap pengkhianatan terhadap barisan timbalan pendakwa raya yang telah mengendalikan perbicaraan itu, Mahkamah Rayuan diberitahu.

Peguam Ambiga Sreenevasan, berkata penarikan balik kes menjadikan penemuan hakim bicara tidak selamat selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

“Keputusan AGC umpama mengorbankan barisan pendakwa raya yang telah mengendalikan perbicaraan berkenaan,” hujahnya dalam rayuan Badan Peguam untuk mendapatkan kebenaran mencabar keputusan peguam negara mendapatkan pelepasan ke atas timbalan perdana menteri daripada kes rasuah.

Ambiga berhujuah, pegawai yang sudah bekerja keras untuk pembuktian kes terhadap Zahid didakwa diperlekehkan AGC.

“Mereka dilayan tidak adil berdasarkan kenyataan-kenyataan dibuat di mahkamah,” katanya di hadapan panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Faizah Jamaludin.

Hakim Lim Hock Leng dan Nadzrin Wok Nordin turut menganggotai panel yang mendengar rayuan itu.

Pada 27 Jun 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Badan Peguam mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan peguam negara yang menghentikan kes terhadap Zahid, yang juga presiden Umno.

Hakim Amarjeet Singh memutuskan, peguam negara tidak mempunyai sebarang kewajipan menyerahkan kepada Badan Peguam sebarang dokumen yang dibangkitkan hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes berkenaan.

Timbalan pendakwa raya ketika itu, Raja Rozela Raja Toran dan seorang timbalan ketua dalam bahagian pendakwaan AGC mengetuai pasukan pendakwaan tersebut.

AGC memohon pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) untuk Zahid selepas 99 saksi pendakwaan dan 15 saksi pembelaan memberi keterangan sepanjang 77 hari perbicaraan.

Ambiga berkata, orang awam terkejut apabila timbalan pendakwa raya ketika itu yang kini merupakan Peguam Negara Dusuki Mokhtar, memaklumkan hakim bicara Collin Lawrence Sequerah, bahawa beliau mendapat arahan menghentikan prosiding berlangsung.

Dusuki meminta kes itu diklasifikasikan DNAA memandangkan SPRM masih menyiasat perkara berkenaan susulan beberapa representasi dikemukakan Zahid sepanjang perbicaraan.

Ambiga berkata, mahkamah diberitahu yang pertuduhan ke atas Zahid didakwa dibuat secara terburu-buru, cuai, tidak lengkap, dan pramatang.

Beliau berkata, hakim bicara juga dimaklumkan pertuduhan tersebut ‘dimanipulasi’ atau ‘dieksploitasi pihak tertentu’ untuk agenda mereka sendiri.

Katanya, DNAA berkenaan dipohon memandangkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) telah ditubuhkan bagiu meneliti dakwaan dalam memoir kontroversi bekas peguam negara, Tommy Thomas, terutama mengenai pendakwaan terpilih.

Kes tersebut tidak memberikan keyakinan awam terhadap AGC, yang mendorong Badan Peguam menuntut remedi undang-undang kerana orang ramai mengharapkan penjelasan.

“Pengendalian perbicaraan tersebut amat membimbangkan dan ini jelas merupakan satu kes luar biasa di mana kebenaran sepatutnya diberikan bagi membolehkan perkara substantif didengar,” katanya.

Bukan kuasa peguam negara dipersoal

Ambiga menekankan bahawa hakim perbicaraan, Sequerah, menyatakan mahkamah tidak mempersoalkan kuasa peguam negara sebagai pendakwa raya untuk memula dan menghentikan prosiding mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254(1) Kanun Prosedur Jenayah pada bila-bila masa sebelum penghakiman diberikan.

“Namun, hakim mengulas banyak masa kehakiman yang berharga dan dana besar awam akan terbazir jika pihak pendakwaan memutuskan dalam masa terdekat untuk tidak meneruskan pertuduhan,” katanya.

Beliau berkata, pada 8 Jan, AGC menyatakan kes Yayasan Akalbudi bekait Zahid diklasifikasikan tiada tindakan lanjut (NFA) kerana kekurangan bukti susulan siasatan SPRM.

Seorang lagi peguam, S Sivaneindiren, berhujah nilai ambang mendapatkan kebenaran semakan kehakiman adalah permohonan tersebut mestilah tidak remeh atau menyusahkan.

“Bagaimanapun, ujian untuk mencabar keputusan peguam negara memerlukan keadaan yang luar biasa,” katanya sambil menambah tidak sepatutnya wujud dua nilai ambang berbeza bagi mendapatkan kebenaran mencabar pihak berkuasa awam.

Pendengaran ditangguhkan ke 15 April.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.