
Peguam kanan persekutuan Ahmad Hanir Hambaly sebelum ini mengemukakan bantahan awal terhadap rayuan itu, dengan alasan Badan Peguam telah memfailkan permohonan berasingan semalam untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan terbaru AG untuk tidak meneruskan tindakan lanjut (NFA) dalam kes Zahid.
Hakim Faizah Jamaludin, yang menyampaikan keputusan sebulat suara, menyatakan keputusan AG pada Januari itu adalah perkara berasingan daripada keputusan sebelumnya untuk memberikan DNAA kepada timbalan perdana menteri itu.
Beliau berkata hakikat bahawa Badan Peguam memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan NFA tidak menjadikan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini sebagai tidak lagi relevan.
Faizah, yang bersidang bersama Hakim Lim Hock Leng dan Nadzrin Wok Nordin, turut memutuskan masih ada isu-isu penting belum diselesaikan dalam rayuan terbabit dan wajar didengar sepenuhnya.
Beliau menjelaskan mahkamah telah mengambil kira beberapa keputusan terdahulu Mahkamah Persekutuan yang menetapkan bahawa mahkamah rayuan masih boleh mendengar sesuatu kes walaupun ia kelihatan bersifat akademik.
Mahkamah akan meneruskan pendengaran rayuan itu pada petang ini.
Terdahulu, peguam Ambiga Sreenevasan yang mewakili Badan Peguam menjelaskan bahawa Zahid tidak pernah dibebaskan sepenuhnya walaupun telah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi.
Beliau berkata hakim di Mahkamah Tinggi telah menangguhkan keputusan berkaitan permohonan itu sementara menunggu hasil rayuan Badan Peguam di Mahkamah Rayuan.
Seorang lagi peguam Badan Peguam, Steven Thiru, berhujah rayuan itu melibatkan isu undang-undang awam yang berkepentingan umum.
Katanya, tujuan rayuan untuk mencabar kuasa Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Tatacara Jenayah.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 27 Jun 2024, telah menolak permohonan Badan Peguam untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan AG menghentikan kes terhadap Zahid, yang membawa kepada rayuan semasa ini.
Hakim Amarjeet Singh memutuskan Peguam Negara tidak mempunyai kewajipan untuk memberikan sebarang dokumen daripada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada Badan Peguam.
Pada 4 September 2023, Mahkamah Tinggi telah memberikan perintah DNAA kepada Zahid bagi 47 pertuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah sementara siasatan lanjut dijalankan oleh SPRM.
Hakim Collin Lawrence Sequerah, yang mengendalikan perbicaraan itu, membenarkan permohonan tersebut walaupun sebelum itu telah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Zahid bagi semua pertuduhan.
Ketika DNAA diberikan, kes tersebut sudah berada di peringkat pembelaan, dan Zahid serta beberapa saksi pembelaan lain telah pun memberi keterangan.
Jabatan Peguam Negara pada 8 Jan memaklumkan pihak pendakwaan mendapati bukti tidak mencukupi untuk meneruskan pertuduhan selepas siasatan SPRM.