
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata persetujuan kepada ICERD boleh memberikan impak terutamanya kepada hak istimewa orang Melayu.
“Ini boleh undang malapetaka. Kami desak tak terima, takut ada implikasi akan berlaku seluruh Malaysia khususnya hak Bumiputera,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menyokong penghantaran memorandum oleh beberapa badan bukan kerajaan (NGO) diketuai Gerakan Pembela Ummah yang menggesa kerajaan menolak proses ratifikasi ICERD.
Sebelum ini, Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang mengetuai rombongan 10 NGO yang membantah konvensyen tersebut. Lebih kurang 100 peserta hadir untuk menghantar memorandum berkenaan kepada wakil Jabatan Perdana Menteri di depan pintu masuk utama Parlimen.
Tuan Ibrahim menambah, kerajaan terdahulu (Barisan Nasional) turut menolak penerimaan ICERD kerana bimbang tindakan itu boleh membawa kesan buruk kepada negara.
“Kalau lihat sejarah negara, penolakan dibuat sejak zaman kerajaan BN. Umno pun tolak. Saya harap Pakatan Harapan (PH) pun tolak sebab implikasi sangat besar kepada sendi utama pembentukan negara,” katanya.