Keluarga mangsa bunuh bantah cadangan mansuh hukuman mati

Richard Morais (dari kiri), Rita Sosilawati dan Wong Hie Huong menunjukkan gambar ahli keluarga mereka yang dibunuh secara kejam dalam sidang media hari ini.

KUALA LUMPUR: Ahli keluarga kepada 3 mangsa bunuh menolak cadangan kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori yang disifatkan tidak adil buat mangsa.

Ahli perniagaan, Rita Sosilawati, berkata ahli keluarganya hanya lega dan berpuas hati selepas mahkamah menjatuh dan mengekalkan hukuman mati ke atas 3 daripada 4 tertuduh dalam kes pembunuhan ibunya yang juga jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya.

“Kami semua sangat gembira dengan keputusan yang dijatuhkan mahkamah tahun lepas. Tahun ini pula dapat tahu hukuman mati nak dimansuhkan.

“Ini tidak adil untuk keluarga mangsa seperti kami. Saya faham negara nak ke arah kemanusiaan, tapi adakah mereka fikirkan tentang kemanusiaan kepada keluarga mangsa?” soalnya dalam sidang media hari ini.

Sosilawati dan 3 pembantunya dilaporkan hilang selepas mereka didakwa ke Banting untuk tujuan jual beli tanah pada 2010.

Pada 23 Mei 2013, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang bekas peguam, N Pathmanabhan serta 3 pekerja ladang, T Thilaiyalagan, R Matan dan R Kathavarayan yang didapati bersalah membunuh 4 mangsa di ladang milik Pathmanabhan di Banting.

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada 16 Mac 2017 mengekalkan hukuman mati terhadap Pathmanabhan, Thilaiyalagan dan Kathavarayan, tetapi Matan dibebaskan kerana kekurangan bukti untuk mengaitkan lelaki itu dengan pembunuhan berkenaan.

Bulan lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dilaporkan berkata, kajian pemansuhan hukuman mati mandatori di negara ini di peringkat akhir sebelum dibentangkan kepada Kabinet.

Katanya, hukuman penjara minimum 30 tahun akan menggantikan hukuman mati dan tumpuan diberikan kepada Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan melaksanakan hukuman penjara seumur hidup.

Beliau berkata, ketika ini ada 18 kesalahan jenayah yang memperuntukkan hukuman mati, termasuk mengedar dadah, melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, keganasan, membunuh, membunuh mangsa ketika penculikan, memiliki dan menggunakan senjata api, merogol sehingga menyebabkan kematian dan merogol kanak-kanak.

Sementara itu, Datuk Richard Morais yang merupakan adik bongsu Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais, berkata pemansuhan hukuman mati tidak adil kepada adiknya yang diculik dan dibunuh kerana menjalankan tugasnya.

“Saya sendiri tidak boleh menyentuh jasadnya kerana keseluruhan badannya menjadi batu kerana disimenkan. Adakah ianya perlu terjadi kepada kamu, barulah kamu nak merasai apa yang kami rasa?”

Mayat Kevin ditemui dalam tong dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, pada 16 September 2015, selepas dilaporkan hilang pada 4 September tahun sama.

Kes itu sedang dibicarakan di mahkamah dengan 6 tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Seorang lagi waris mangsa bunuh, Wong Hie Huong turut membantah pemansuhan hukuman mati yang disifatkan tidak adil buat keluarganya.

Adiknya, Wong Jing Kui yang merupakan pengurus cawangan HSBC dibunuh di rumahnya, di Sibu, Sarawak, pada 14 Jun 2012.

Mahkamah Tinggi pada 27 Oktober 2017 menjatuhkan hukuman mati ke atas isteri mangsa, Ling Hang Tsyr yang didakwa melakukan kesalahan itu dengan teman lelakinya, Tiong King Guan, 31, yang gagal dikesan sehingga kini.

Seorang lagi tertuduh, Ling Hoe Ing, mengaku bersalah terhadap pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat dan dijatuhi hukuman penjara 16 tahun pada 1 Oktokber 2013.

“Sehingga kini, selepas hampir 6 tahun, suspek utama pembunuhan sudah dipenjarakan dan seorang lagi masih hilang dan tidak boleh dikesan.

“Anak adik saya pula berada di dalam jagaan keluarga pembunuhnya, iaitu si isteri, dan kami tidak mempunyai akses untuk berjumpa dengannya.”