Petronas: Bayaran dividen ambil kira kemampuan bayar hutang

Petronas: Bayaran dividen ambil kira kemampuan bayar hutang

Bayaran dividen juga mengambil kira kemampuan membiayai operasi berterusan dan melabur bagi pertumbuhan masa depan.

Pengesahan penarafan kredit mencerminkan kedudukan kewangan kukuh Petronas kekal teguh. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Petronas hari ini menjelaskan bahawa semua bayaran dividennya, termasuk dividen khas sekali bayar dan sebarang dividen pada masa depan, akan mengambil kira kemampuannya untuk membayar hutang.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat minyak nasional itu berkata, pembayaran dividen tersebut juga mengambil kira kemampuannya untuk membiayai operasi berterusan dan melabur bagi pertumbuhan masa depan.

Petronas mengulas mengenai laporan S&P Global Ratings dan Moody’s Investors Service yang masing-masing mengesahkan penarafan kreditnya pada A- dan A1 susulan pengumuman pembayaran dividen khas sekali bayar RM30 bilion dalam Belanjawan 2019.

Pengesahan penarafan kredit itu mencerminkan kedudukan kewangan kukuh Petronas yang kekal teguh.

Kedudukan kewangan itu disokong oleh asas yang kuat, tunai bersih yang besar dan kedudukan mudah tunai yang cukup, dipacu oleh usaha transformasi sejak beberapa tahun lepas dari segi kecekapan operasi, pengurangan kos dan pengoptimuman portfolio, selain didorong harga minyak mentah yang lebih baik, menurut Petronas.

Petronas juga memberi perhatian kepada perubahan unjuran penarafan Moody’s daripada stabil kepada negatif.

Ia berkata, perubahan unjuran berkenaan disebabkan Moody’s berpandangan profil kewangan Petronas akan berdepan risiko kemerosotan sekiranya pembayaran dividen kekal tinggi pada masa depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.