Menteri: Belia Melayu paling ramai ambil dadah

Menteri: Belia Melayu paling ramai ambil dadah

Manakala Pahang mencatatkan angka tertinggi iaitu 16,150 orang daripada keseluruhan penduduknya seramai 1,679,000, setakat September tahun ini.

Gambar Bernama.
PUTRAJAYA:
Penyalahgunaan dadah di negara ini mencatatkan kaum Melayu menjuarai carta iaitu seramai 88,522 orang atau bersamaan 80.6%.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perkara itu disahkan berdasarkan laporan salah guna dadah daripada pihak berkuasa dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

“Kalau ikut kategori bangsa, kaum Melayu yang jadi penagih adalah sebanyak 80.6% atau 88,522 orang.

“Golongan yang terlibat paling banyak adalah remaja dan belia. Baik lelaki dan perempuan, seramai 3,043 orang,” katanya pada satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Penguatkuasaan Undang-undang (JPU) AADK, hari ini.

Menurut laporan AADK, dicatatkan sebanyak 109,838 orang penagih dikesan mulai 2014 hingga 2018. Daripada angka itu, sebanyak 75.1% atau 32,447 kes baharu dan 24.9% atau 27,391 melibatkan kes berulang.

Kategori jantina pula menunjukkan lelaki menguasai gejala itu dengan 105,632 orang atau 96.2%, manakala golongan wanita sebanyak 3.8% iaitu 4206.

Bagi kategori umur, golongam belia (19-39 tahun) mencatatkan bilangan penagih paling ramai iaitu sebanyak 80,598 orang atau 73.4% diikuti golongan dewasa (40 tahun dan ke atas) seramai 26,197 orang atau 23.9%.

Akhir sekali, golongan remaja berumur bermula 13 hingga 18 tahun seramai 3,043 orang atau 2.8%.

Tambah Muhyiddin, kaum Cina yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah sebanyak 7,883 orang (7.2 %) dan India sebanyak 7,689 orang (7%).

Manakala Sabah dan Sarawak menyumbang sebanyak 4.4% iaitu pribumi Sabah sebanyak 4,274 orang (3.6%) dan pribumi Sarawak sebanyak 713 orang (0.9%). Lain-lain kaum pula sebanyak 757 orang (0.7%).

Bagi kategori negeri, Pahang mencatatkan bilangan paling tinggi dalam aktiviti itu sebanyak 16,150 orang diikuti negeri Kelantan (16,918 orang) dan Terengganu (10,576 orang).

FMT dimaklumkan, pengiraan peratusan dibuat berdasarkan bilangan penagih yang dikesan dibahagikan dengan bilangan keseluruhan penduduk negeri masing-masing. Pahang mencatatkan angka tertinggi daripada jumlah keseluruhan penduduknya seramai 1,679,000 orang setakat September tahun ini.

Kerajaan akan haramkan ketum

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin mengesahkan kerajaan dalam peringkat awal untuk mengharamkan penanaman ketum ekoran aktiviti meminum ketum semakin membimbangkan.

Meskipun ketum tidak diklasifikasikan sebagai dadah berbahaya, beliau berkata, berdasarkan laporan yamg dibuat oleh Kementerian Kesihatan mendapati pengamalan meminum ketum boleh memudaratkan.

“Jadi kami bincang panjang lebar tentang perkara ini dan akan dicadangkan kepada jawatankuasa tindakan Kabinet yang akan bersidang tidak lama lagi supaya mengharamkan penanaman ketum.

“Ianya dibuat di peringkat awal kerana kita tidak mahu sampai satu tahap, ianya tidak lagi boleh dibendung,” katanya.

Beliau juga berharap jemaah menteri bersetuju dengan pengharaman ketum ini sebelum ia sampai ke tahap yang lebih membimbangkan.

“Keputusan muktamad hanya boleh dibuat oleh Kabinet sebelum dibawa ke Parlimen,” katanya.

Menurut laporan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), ketum dikategorikan sebagai bahan kawalan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Sementara itu, Muhyiddin juga mengesahkan kerajaan sedang berusaha untuk memperkenalkan rang undang-undang baru bagi menangani gelaja hidu gam yang banyak melibatkan golongan remaja dan belia negara ini.

“Satu lagi, kita nak perkenalkan rang undang-undang Akta Barang Khayal seperti yang dicadangkan oleh AADK.

“Berdasarkan laporan yang diterima, terdapat kes penghidu gam sehingga menyebabkan khayal.

“Golongan remaja adalah bilangan paling tinggi terlibat gejala ini. Ia berlaku secara besar tetapi tidak dikategorikan sebagai dadah, hanya hidu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.