
Usul oleh majlis pimpinan pusat (MPP) PKR itu dibacakan pengerusi jawatankuasa usul Fahmi Fadzil, mengatakan MPP percaya Wan Azizah perlu terus memainkan peranan dalam parti selepas suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim terpilih sebagai presiden.
“Ahli MPP mengusulkan untuk melantik beliau sebagai Pengerusi Majlis Penasihat PKR untuk terus memanfaatkan bakat dan kebijaksanaan beliau. Ia juga sebagai tanda terima kasih dan penghargaan terhadap pengorbanan dan jasa beliau,” katanya ketika membacakan usul berkenaan kepada 965 perwakilan di Pusat Konvensyen Ideal.
Usul kemudian disokong oleh perwakilan Wilayah Persekutuan, Zahir Hassan dan semua perwakilan berdiri sebagai tanda setuju.
Dr Wan Azizah akan melepaskan jawatan sebagai presiden selepas Anwar menang tanpa bertanding pada sesi pemilihan kali ini.
Fahmi ketika dihubungi FMT menjelaskan majlis penasihat itu merupakan satu badan baharu yang diwujudkan hari ini selepas usul diterima sebulat suara oleh perwakilan di kongres parti.
“Memandangkan kongres nasional adalah badan pembuat keputusan tertinggi parti, maka majlis penasihat PKR sah wujud. Maklumat lanjut berkenaan fungsi, tanggungjawab dan komposisi majlis akan diumumkan kelak,” katanya.
Beliau berkata pengalaman Wan Azizah, yang menerajui parti itu dari April 1999, boleh dimanfaatkan agar parti terus berada di landasan perjuangannya.
Fahmi menepis sebarang kekhuatiran pelantikan Wan Azizah itu mendatangkan unsur “nepotisme” dalam PKR, memandangkan suaminya dan anak perempuannya, Nurul Izzah juga dalam kepimpinan parti.
Ini kerana jawatan pengerusi majlis penasihat itu tiada kuasa membuat keputusan.
“Jawatan itu hanya untuk menasihatkan parti. Terpulang pada parti untuk buat keputusan termasuk biro politik, majlis pimpinan pusat dan kongres nasional untuk buat keputusan dirasakan terbaik,” katanya.