Pemandu lori ditahan langgar konvoi motor, 2 maut dan 5 parah

Pemandu lori ditahan langgar konvoi motor, 2 maut dan 5 parah

Polis berkata, lelaki yang tidak cedera itu akan direman esok, selepas ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis berkata, siasatan mendapati konvoi 6 motosikal yang ditunggang sekumpulan anak muda berumur 18 dan 20 tahun itu berhenti di lorong kecemasan, selepas salah sebuah motosikal terbabas akibat kemalangan. (Gambar Facebook)
SUNGAI BULOH:
Seorang lagi mangsa disahkan maut dalam kemalangan konvoi 6 motosikal di KM405 Lebuhraya Utara Selatan, arah Utara di Lembah Beringin, dekat sini, hari ini.

Ini menjadikan mangsa yang meninggal dunia meningkat kepada 2 orang.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, Mohamad Faridzuan Shariff, 20, maut di tempat kejadian, manakala Muhammad Nur Syafiq Kamel Mukmin, 18, meninggal di Hospital Sungai Buloh tidak lama kemudian.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt Lim Bak Phai berkata 5 yang lain cedera parah.

Katanya, polis menahan pemandu lori berusia 30 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Suspek akan direman esok dan dia tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, siasatan mendapati konvoi 6 motosikal yang ditunggang sekumpulan anak muda berumur 18 hingga 20 tahun itu berhenti di lorong kecemasan bagi membantu seorang rakan mereka yang terbabas.

“Sebuah kereta Proton Exora juga berhenti di lorong kecemasan untuk membantu mereka. Kemudian datang sebuah lori dari arah belakang lalu merempuh kesemua mereka.”

Sementara itu, rakan mangsa, Mohd Aqil Danial Mohd Sadri, 18, berkata mereka berkonvoi menuju ke sebuah restoran terkenal di Sungkai, Perak.

Tetapi, apa yang menghairankan ialah rakannya yang menyertai konvoi itu bertolak seawal 7 pagi, berbanding kebiasaan 9 pagi.

“Kali terakhir saya bertemu Syafiq adalah ketika menonton perlawanan bola sepak di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam. Dia ada ajak saya sertai konvoi, tetapi saya menolak kerana ada urusan yang ingin diselesaikan hari ini.

“Ini adalah kali pertama beliau (Syafiq) sertai konvoi kerana baru sahaja terlibat kemalangan 2 bulan lepas,” katanya di Hospital Sungai Buloh.

Rakan kepada seorang lagi mangsa yang hanya dikenali sebagai Nurul berkata, kali terakhir beliau sertai konvoi bersama Faridzuan yang lebih dikenali sebagai “Atoi” ialah awal tahun ini.

“Memang kami selalu konvoi beramai-ramai, banyak lokasi seperti ke Sungkai dan kawasan lain. Saya terkejut ramai rakan yang saya kenali terlibat kemalangan ini.”

Menurut Twitter PLUS, kemalangan itu menyebabkan kesesakan trafik lebih 5km akibat sebahagian lorong ditutup.

Bagaimanapun, semua lorong dibuka semula 1 tengah hari tadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.