Minggu lalu tersiar laporan seorang warganegara Amerika Syarikat (AS) dibunuh suku kaum Sentinelese di kepulauan Andaman di India.Beberapa hari kemudian kerajaan Malaysia mengumumkan keputusan tidak akan melakukan ratifikasi ke atas Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Apakah kaitan antara kedua peristiwa itu? Tidak ada. Cumanya ia mempunyai persamaan berhubung soal mempertahankan kaum daripada peminggiran dan penghapusan.
Sentinelese atau Sentineli adalah nama suku kaum yang tinggal di pulau Sentinel Utara. Dianggarkan terdapat 150 orang suku kaum itu, dan mereka dipercayai berada di pulau itu sejak 60,000 tahun lalu. Mereka adalah kaum terpencil dan enggan dihubungi orang luar.
Walaupun mereka dipercayai mempunyai kaitan dengan suku kaum lain di sekitarnya tetapi dipercayai bahasa mereka berlainan sama sekali. Oleh itu tidak ada sesiapa boleh berhubung dengan mereka. Maka tidak diketahui apa nama yang mereka berikan pada diri sendiri.
Nama Sentinelese itu diberikan pihak berkuasa kerana mereka tinggal di pulau Sentinel. Perkataan Sentinel yang bermaksud pengawal atau stesen dalam bahasa Inggeris dipercayai diberikan oleh penjelajah British yang sampai ke situ pada kurun ke-18 dan menjadikannya sebagai sebahagian daripada wilayah jajahan India.
Pulau Sentinel adalah sebahagian daripada kepulauan Andaman dan Nicobar yang terletak di Teluk Benggala.
Apabila India mencapai kemerdekaan, pulau itu menjadi sebahagian daripada Wilayah Kesatuan Kepulauan Andaman dan Nicobar yang diletakkan langsung di bawah kekuasaan kerajaan pusat di New Delhi.
Dipercayai orang Sentinelese ini tidak mengetahui mereka berada dalam kekuasaan India. Malah pastinya mereka tidak mengiktiraf sebarang kekuasaan luar terhadap kaum itu.
Bagi mereka, pulau Sentinel Utara itu bukan saja negeri dan kampung halaman tetapi dunia mereka. Orang luar dianggap sebagai penceroboh yang perlu dilawan dan dihapuskan, sekalipun dengan hanya menggunakan senjata primitif iaitu anak panah.
Tetapi bagi kerajaan India, tentunya orang Sentinelese adalah rakyatnya yang perlu dilindungi walaupun tidak dapat dihubungi. Sentinelese adalah salah satu daripada suku kaum yang diwartakan sebagai Suku Kaum Berjadual atau Schedule Tribes dalam Perlembagaan India.
Maka perlembagaan itu memberikan kedudukan istimewa pada Suku-suku Kaum Berjadual dari segi tanah simpanan atau reservation, menjamin perwakilan politik serta diskriminasi positif, dalam bentuk tindakan afirmatif bagi membolehkan mereka membangun dan menyertai kehidupan bernegara.
Namun bagi suku kaum Sentinelese ini, kerajaan India menghormati kehendak mereka mengekalkan cara hidup sendiri dan keengganan untuk dihubungi. Malah mereka diberi perlindungan supaya tidak dihubungi oleh orang luar dengan kerajaan India mengharamkan sesiapa pun daripada menghampiri pulau kediaman Sentinelese.
Langkah kerajaan India ini bertujuan untuk mengelak kaum itu daripada dijangkiti penyakit yang dibawa orang luar. Ini kerana kaum itu dipercaya tidak mempunyai cukup imun untuk melawan penyakit asing.
Malangnya, warganegara AS, John Chau, 27, melanggar undang-undang pihak berkuasa dan pergi ke pulau itu dengan dipercayai memberi upah kepada nelayan untuk membantunya.
Seperti yang dicatat dalam buku notanya, tujuan Chau adalah untuk mengajak kaum Sentinelese itu memeluk agama Kristian. Di AS, beliau bergabung dengan badan misionari yang berazam untuk menyebar agamanya.
Dengan usia muda begitu, dan pergi bersendirian ke pulau itu, berkemungkinan Chau dihinggapi perasaan romantisisme terhadap kerja misionari dalam kalangan kaum primitif pada zaman dahulu.
Chau disambut dengan serangan suku kaum Sentinelese dan dipercayai terbunuh akibat panah-panah yang dilepaskan mereka.
Di AS, sebahagian penyokong usaha beliau itu menyifatkan Chau sebagai “martyr” atau “mati syahid” kerana berdakwah menyebar agama Kristian.
Tetapi bagi penyokong kehidupan primitif suku kaum, tindakan Chau itu bukan saja naif tetapi bersifat menceroboh. Perlembagaan India yang digubal menurut perundangan British turut memberi perlindungan kepada kebebasan kehidupan primitif.
Hakikatnya dalam sistem bernegara moden, dalam suasana dunia bertamadun dengan nilai demokrasi, hak peribumi terutama bagi suku kaum orang asal perlu dipelihara daripada terpinggir, tertindas dan terpupus.
Pada zaman kolonial dan imperial, negara yang kuat bukan saja menjelajah dan menceroboh tetapi menjajah dan menyebar agama mereka terhadap penduduk tempatan.
Penyebaran agama penjajah dilakukan badan misionari yang seringkali ditumpukan pada kaum yang tidak beragama, atau menganut animisme. Penyebaran agama asing terhadap penganut tempatan sedia ada seringkali menimbulkan keresahan.
Maka di Malaya, pihak berkuasa British akur dengan tuntutan rakyat tempatan supaya penyebaran agama asing dilarang terhadap penganut Islam. Pihak kolonial British sentiasa berhati-hati terhadap soal agama penduduk sedia ada di tanah jajahan dan naungannya.
United Kingdom sendiri tidak mempunyai perlembagaan bertulis. Tetapi daripadanya, terhasil perlembagaan negara merdeka yang sebelum itu merupakan jajahan British seperti Canada, Australia dan India. Dari Perlembagaan India itu juga digubah dan digubal untuk melahirkan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang kemudiannya menjadi Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Kemunculan negara merdeka daripada runtuhan Empayar British berlaku selepas Perang Dunia Kedua. Bagi mengelak daripada perang dahsyat itu berulang, maka diwujudkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Badan ini berasaskan pada negara yang menang perang.
Perjuangan mereka untuk menumpaskan Jerman Nazi adalah atas fahaman kesaksaman semua kaum. Ini kerana Jerman Nazi wujud di atas rasisme, iaitu keagungan bangsa Jerman. Maka antara tonggak penting PBB adalah persepakatan menentang fahaman perkauman.
Semangat menentang perkauman yang digerakkan oleh konsensus PBB dan diserlahkan melalui dokumen seperti ICERD tentulah tidak bercanggah dengan hasrat Perlembagaan Malaysia yang mempunyai semangat untuk mempertahankan hak-hak pribumi, yang meliputi bukan saja orang Melayu tetapi juga suku kaum Bumiputera termasuk Orang Asal di Semenanjung, Sarawak dan Sabah.
Namun begitu, ratifikasi ICERD menimbulkan kebimbangan hak pribumi akan tergugat. Walaupun gerakan menentang ratifikasi ICERD dilihat sebagai didalangi parti pembangkang yang mempunyai agenda politiknya untuk berkuasa semula, tetapi di sebalik perasaan banyak orang Melayu yang membantah itu, terdapat kebimbangan tulen bahawa mereka akan kehilangan hak peribumi.
Seperti suku kaum Sentinelese, kebimbangan mereka ada asasnya. Dalam keadaan ini, walaupun banyak penyokong Pakatan Harapan mahukan ratifikasi ICERD, mereka faham mengapa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membuat keputusan membatalkan ratifikasi dan menegaskan Perlembagaan Persekutuan Malaysia akan sentiasa dipertahankan.
Dari segi politik nasional, mengelak kemudaratan lebih besar adalah langkah terbaik berbanding untuk melaksanakan suatu kebaikan.
Tetapi semangat mendokong keadilan dengan menolak diskriminasi kaum tetap dipegang. Begitu juga dengan kesedaran bahawa perlembagaan digubal untuk mewujudkan keharmonian dalam kehidupan bernegara.
Namun begitu, orang Melayu bukanlah seperti suku kaum Sentinelese. Orang Melayu bukannya suku kaum primitif yang perlu dilindungi di bawah kategori Suku Kaum Berjadual.
Tidak seperti suku kaum Sentinelese, orang Melayu adalah bangsa yang bertamadun, bersejarah dan turut menyertai dalam perkembangan kemodenan manusia sejagat.