Menteri: Kerajaan salur peruntukan R&D untuk prototaip kereta nasional ke-3

Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan bagaimanapun tidak memberitahu jumlah dana yang terlibat.

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyalurkan peruntukan bagi menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk prototaip projek kereta nasional ketiga.

Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, peruntukan itu adalah dengan menggunakan geran R&D kerajaan.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah geran R&D untuk prototaip projek kereta nasional tersebut.

“Biar perdana menteri umumkan mengenai dana geran ini. Ia (jumlahnya) agak besar dan cukup untuk menjadi pemangkin bagi menarik penyertaan swasta dalam syarikat tujuan khas (SPV) yang akan ditubuhkan bagi meraih modal permulaan untuk menggalakkan perkembangan projek kereta nasional ketiga ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Seminar Pasaran Saham 2018: Going Public-Unlocking Of SMEs’ di Bursa Malaysia di sini, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, prototaip kereta nasional baru dijangka dapat dikongsikan dengan umum secepatnya tahun depan.

Azmin berkata, ia dibincangkan di peringkat Majlis Pembangunan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mengulas lanjut, Redzuan berkata, sektor swasta yang mahukan industri automotif untuk berkembang lebih pesat.

“Anda dapat menilai sektor swasta yang mahu terlibat dalam projek kereta nasional ketiga ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pelantikan Datuk Noripah Kamso sebagai pengerusi baru Bank Rakyat, Redzuan berkata beliau mempunyai latar belakang perbankan.

“Beliau layak dan memahami apa yang kami mahu buat. Apa yang kerajaan mahu lakukan dulu membabitkan isu integriti dan tadbir urus.

“Beliau adalah calon yang layak berdasarkan proses pemilihan yang dilakukan,” katanya.

Terdahulu, Redzuan mengumumkan pelantikan Noripah sebagai pengerusi baru Bank Rakyat menggantikan Tan Sri Shukry Mohd Salleh yang disingkirkan daripada jawatan itu pada 26 November lepas berikutan keterlibatan beliau dalam laporan asal audit 1Malaysia Development Bhd (1MDB).