PAS tidak bertanding di Cameron Highlands

PAS tidak bertanding di Cameron Highlands

Bagaimanapun, parti itu akan sokong calon pembangkang.

PETALING JAYA:
PAS hari ini mengumumkan ia tidak akan meletakkan calon dalam pilihan raya kecil (PRK) di Cameron Highlands yang dijadualkan pada 26 Januari depan.

Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan berkata, keputusan tersebut dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS Pusat.

Beliau berharap keputusan PRK untuk kawasan Parlimen Cameron Highlands itu menyebelahi pembangkang.

“Hal ini penting kerana amalan demokrasi yang baik memerlukan proses semak dan imbang dalam pentadbiran sesebuah kerajaan. Dengan kata lain peranan pembangkang adalah amat penting,” katanya.

Katanya, PAS juga telah putuskan akan menyokong calon pembangkang.

Sebelum itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Harun mengumumkan pilihan raya kecil di Cameron Highlands itu akan berlangsung pada 26 Januari depan.

Calon-calon boleh fail surat penamaan calon pada 12 Januari depan. Tempoh kempen adalah 2 minggu.

Bulan lepas, Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Barisan Nasional di Kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei lalu kerana mendapati wang digunakan dalam tempoh kempen PRU untuk membeli undi

C Sivarraajh, daripada MIC yang memenangi kerusi berkenaan berkata, beliau tidak akan mencabar keputusan mahkamah tersebut di Mahkamah Persekutuan, sebaliknya akan bertanding dalam PRK itu demi rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.