
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar ketika menggulung RUU itu berkata ia akan dilakukan menerusi pembentangan pindaan Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) dan Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76) pada pertengahan 2019.
“Kementerian telah lakukan libat urus dengan Jabatan Tenaga Kerja Sabah dan Sarawak serta kerajaan negeri mengenai pindaan yang dilaksanakan supaya dapat dipanjangkan pemakaian di Sabah dan Sarawak.
“Apabila mendapat persetujuan daripada kerajaan negeri, pembentangan pindaan akan dibawa pada pertengahan 2019,” katanya di Dewan Negara malam ini.
Antara pindaan dalam RUU itu ialah majikan yang menggaji kanak-kanak di bawah 15 tahun boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 5 tahun bagi kesalahan berulang.
Antara pindaan lain ialah denda dinaikkan daripada tidak lebih RM5,000 kepada tidak lebih RM50,000 dan bagi kesalahan berulang, mereka boleh didenda tidak lebih RM100,000.
RUU itu yang bertujuan meminda Akta Kanak-kanak Dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966 atau Akta 350 itu diluluskan sebulat suara ahli Dewan Negara.
RUU itu diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 17 Oktober.
Sementara itu, Dewan turut meluluskan 2 lagi RUU iaitu Jalan, Parit dan Bangunan (Pindaan) 2018 dan RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2018.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar ketika menggulung perbahasan RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2018 berkata kementerian akan mempertimbangkan fi yang akan dikenakan kepada pemandu kenderaan yang menggunakan lapisan filem (gelap) ke atas cermin kenderaan.
“Sebahagian yang dicadangkan untuk kes-kes melibatkan kesihatan dan keselamatan antara dalam pertimbangan kerajaan untuk tidak dikenakan fi,” katanya.
Persidangan dewan bersambung esok.