
“Perlis negeri kecil, lebih kecil daripada sebuah daerah di Kedah dan jumlah rakyatnya juga tidak ramai. Jika negeri sekecil ini pun gagal diurus, ini bukan soal cabaran, ini soal ketidaklayakan,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Mahfuz berkata krisis itu bukan perkara baharu kerana telah berlarutan lebih setahun, meskipun pelbagai usaha dilakukan termasuk pertukaran pesuruhjaya PAS negeri, pelantikan pengerusi PN baharu, dan rundingan tertutup.
Beliau turut menyifatkan situasi itu sebagai politik ‘tebuk atap paling hina’ kerana melibatkan parti dan gabungan sama, tanpa sebarang tekanan luar atau ancaman pembangkang.
“Kerajaan PN di Perlis sedang mengkhianati mandat rakyat akibat kerakusan kuasa dan perebutan sesama sendiri,” katanya.
Mahfuz berkata, PAS sudah hilang autoriti moral untuk bercakap soal kestabilan, integriti, dan tadbir urus.
Beliau berkata, rakyat Perlis kini menjadi tebusan kepada perbalahan dalaman yang tidak berkesudahan, menyebabkan pentadbiran negeri terabai dan keyakinan rakyat runtuh.
“Yang runtuh bukan musuh mereka, tetapi keupayaan mereka sendiri untuk memerintah”.
Terdahulu, Speaker DUN Perlis Rus’ele Eizan mengumumkan kekosongan luar jangka di DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji selepas tiga wakil rakyatnya terhenti keahlian PAS.
Beliau berkata walaupun tempoh penggal sudah matang iaitu melebihi tiga tahun, pihaknya berpendapat terdapat keperluan untuk diadakan PRK tiga DUN berkenaan berikutan terjejasnya sokongan terhadap kerajaan negeri semasa.
Katanya, status kekosongan kerusi tersebut akan dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat.
Semalam, PAS mengumumkan keahlian tiga Adun di Perlis terhenti serta-merta.
Presiden Hadi Awang mengumumkan keahlian Saad Seman (Chuping), Anwar Ismail (Bintong), dan Ridzuan Hashim (Guar Sanji) terhenti, selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS pusat.
Mereka didakwa menyertai Adun Bersatu mengemukakan akuan berkanun (SD) kepada Raja Perlis bagi menyatakan menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Shukri Ramli.
Satu-satunya wakil Pakatan Harapan (PH) di Perlis, Adun Indera Kayangan, Gan Ay Ling, juga dipercayai mengemukakan SD kepada baginda.
PN menguasai 14 daripada 15 kerusi dalam DUN Perlis, dengan PAS memiliki sembilan kerusi dan Bersatu lima.