Kastam tubuh cawangan khas siasat salah laku pegawai

Kastam tubuh cawangan khas siasat salah laku pegawai

Pasukan akan dianggotai 27 pegawai yang kini sedang menjalani latihan di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan.

Ketua Pengarah T Subromaniam berkata cawangan khas kastam akan menyiasat dan membantu pendakwaan terhadap pegawai dan sindiket terlibat. (Gambar Bernama)
BANGI:
Kastam hari ini mengumumkan penubuhan cawangan siasatan dalaman khas bagi menyiasat isu rasuah dan salahguna kuasa dalam jabatan itu berkuat kuasa sepenuhnya Rabu ini.

Ketua Pengarah Datuk Seri T Subromaniam berkata, penubuhan cawangan tersebut selaras dengan peruntukan Seksyen 137 Akta Kastam yang memberi kuasa untuk menyiasat mana-mana pegawai kastam yang disyaki menawar atau menerima rasuah.

“Saya memang akui ada isu integriti, isu rasuah dan salah guna kuasa dalam jabatan. Sebab jabatan ini adalah satu jabatan yang besar, jumlah anggota lebih 14,000 orang,” katanya pada sidang media di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (Ilkap) hari ini.

Subromaniam berkata cawangan itu akan dianggotai 27 pegawai yang kini sedang menjalani latihan di Ilkap. Mereka akan memberi tumpuan kepada kes-kes melibatkan sindiket yang cuba mendapatkan bantuan pegawai kastam.

“Mereka akan siasat kes sebegini dan akan mendakwa sindiket bersama-sama pegawai jika pegawai kastam itu turut terlibat.

“Mana-mana pegawai yang disabitkan kesalahan di bawah seksyen ini boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 5 tahun atau denda tidak melebihi RM500,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Subromaniam berharap penubuhan cawangan akan dapat mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap kastam yang sering berdepan isu salahguna kuasa dan rasuah.

Sementara itu, Subromaniam turut memaklumkan tangkapan pertama membabitkan 2 orang warga asing selepas kastam melaksanakan pindaan Akta Kastam dan Akta Eksais bermula 2 Januari lalu.

Katanya, 2 rakyat Pakistan itu ditahan selepas memiliki barang larangan import (rokok) bernilai RM152.00 dan cukai membabitkan RM1,010.04.

Subromanian menjelaskan kedua-dua akta itu dipinda bagi mengekang aktiviti penyeludupan dan pengelakan duti rokok dan minuman memabukkan, dengan hukuman lebih tinggi terhadap pesalah.

“Kedua-dua warganegara Pakistan telah mengaku salah atas pertuduhan yang dibacakan dan dikenakan denda RM100,000. Sekiranya gagal membayar denda, akan dikenakan penjara 12 bulan,” katanya.

Pindaan memperuntukkan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda amaun duti kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana amaun lebih besar, dan tidak lebih 20 kali ganda amaun duti kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun lebih besar, atau penjara tidak lebih 5 tahun, atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan berulang, penalti denda tidak kurang 20 kali ganda amaun duti kastam atau RM200,000 mengikut mana-mana amaun lebih besar, dan tidak lebih 40 kali ganda amaun duti kastam atau RM1 juta mengikut mana-mana amaun lebih besar, atau penjara tidak lebih 7 tahun, atau kedua-duanya.

“Hukuman yang lebih tinggi ini saya rasa akan membolehkan jabatan Kastam memungut hasil yang lebih seperti yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2019,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.