Polis nafi diam diri atas kes kematian Teoh Beng Hock

Polis nafi diam diri atas kes kematian Teoh Beng Hock

Ketua polis negara berkata, pihaknya membuka semula siasatan dan menubuhkan sebuah pasukan petugas khas untuk menyiasat kematian bekas pembantu politik Adun Seri Kembangan itu.

Fuzi Harun (kanan) memakaikan pingat jasa pahlawan negara kepada 47 pegawai dan anggota polis sebagai menghargai semangat kepahlawanan dan pengorbanan mereka kepada negara pada Perhimpunan Bulanan Peringkat Bukit Aman hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menafikan dakwaan polis mendiamkan diri berhubung kes Teoh Beng Hock, sebaliknya mereka membuka semula siasatan ke atas kematiannya.

Katanya, polis turut menubuhkan sebuah pasukan petugas khas untuk menyiasat semula kes itu.

“Kami tidak akan mendiamkan diri. Arahan diberikan lama dahulu dan kami sudah memaklumkan Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat polis Bukit Aman hari ini.

Fuzi berkata, cadangan akan dibuat berdasarkan hasil siasatan semula kes itu.

Bekas pembantu politik Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah itu ditemui mati pada 2009, selepas terjatuh dari tingkat 9 bangunan yang pernah menempatkan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Selangor di Shah Alam, di mana beliau ditahan semalam untuk disoal siasat.

Sementara itu, Fuzi menyangkal dakwaan polis mengambil masa terlalu lama untuk menyiasat kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, akhir November lalu.

Adib meninggal dunia 3 minggu selepas dirawat di Institut Jantung Negara pada 17 Disember lalu, akibat cedera parah selepas diserang perusuh di luar Kuil Sri Maha Mariamman, pada 27 November lalu.

Fuzi berkata, siasatan ke atas kes itu hampir selesai dan polis sudah diarahkan peguam negara untuk bersiap sedia terhadap inkues pada 18 Januari ini.

“Tiada isu kecuali sedikit isu teknikal,” katanya yang enggan mengulas lanjut bagi mengelakkan ia menjejaskan siasatan dan inkues itu.

Jabatan Peguam Negara memfailkan dokumen kes itu di pejabat pendaftar Kompleks Mahkamah Shah Alam pada 27 Disember lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.