
Dalam satu kenyataan hari ini, Pertubuhan Teoh Beng Hock untuk Kemajuan Demokrasi (TBH-ADA) berkata Lee Lan akan ke Geneva bersama wakil pertubuhan berkenaan.
Menurutnya, susulan penyerahan aduan rasmi mengenai kematian Beng Hock kepada PBB pada Julai lalu, pertubuhan itu kini giat berhubung dengan kumpulan hak asasi manusia antarabangsa dan tempatan.
Pertubuhan itu turut mengumumkan pada Julai bahawa ia berusaha mengumpul RM50,000 bagi membiayai perjalanan Lee Lan ke Geneva.

“Setakat ini, TBH-ADA mengumpul RM122,377 melalui siri jelajah di seluruh negara dan pembiayaan orang ramai secara dalam talian. Dana ini akan digunakan untuk menyokong advokasi hak asasi manusia di PBB dan inisiatif berkaitan,” katanya.
Sebelum ini dilaporkan TBH-ADA menganjurkan forum di seluruh negara bagi meningkatkan tekanan awam terhadap siasatan kematian Beng Hock, yang diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) oleh Jabatan Peguam Negara kerana kekurangan bukti.
Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai 2009 selepas terjatuh dari tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, Selangor.
Beliau disoal selama beberapa jam oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor sebelum insiden itu.
Siasatan inkues terhadap kematiannya pada awalnya mengembalikan keputusan terbuka. Namun pada 2014, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kematiannya disebabkan oleh ‘seorang atau lebih individu tidak dikenali’, termasuk pegawai SPRM.
Dua pasukan penyiasatan khas ditubuhkan untuk menyiasat insiden berkenaan – satu pada 2011 dan satu lagi pada 2015 – namun kedua-duanya diklasifikasikan sebagai NFA oleh pendakwa raya.
Pada 2019, polis membuka siasatan di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana kurungan salah.
Siasatan semula diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada November tahun lalu, yang mengarahkan polis meneliti semula semua aspek kes tersebut.