
Beliau berkata, hasrat itu sudah dipanjangkan melalui Majlis Keselamatan PBB dan kini hanya menunggu mandat rasmi sebelum sebarang keputusan dapat dimuktamadkan.
“Kita memang sentiasa bersedia menghantar pasukan pengaman bagi tugasan antarabangsa malah menyediakan satu batalion bagi misi sedemikian.
“Untuk menghantar pasukan kita ke Gaza, kita juga perlu mengambil kira persetujuan penduduk Palestin selaras dengan pendirian Malaysia yang menekankan penyelesaian komprehensif memandangkan keamanan di Palestin memerlukan pendekatan menyeluruh,” katanya.
Adly berkata demikian kepada pemberita selepas sesi pertanyaan lisan pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Keempat DUN Melaka ke-15 di Seri Negeri, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan sentiasa mengekalkan komitmen antarabangsa, dengan 150 anggota pengaman Malaysia Batalion (Malbatt) 850-12 kini bertugas di Lubnan dan dijangka berakhir pada akhir 2026.
“Pasukan kita sentiasa bersedia untuk digerakkan ke mana-mana lokasi yang memerlukan misi keamanan antarabangsa,” katanya.
Sebelum ini, Panglima Angkatan Tentera Mohd Nizam Jaffar berkata Angkatan Tentera Malaysia masih menunggu arahan rasmi daripada PBB berhubung misi pengaman ke Gaza.
Nizam berkata, pihaknya berada pada tahap kesiapsiagaan untuk diaturgerakkan ke sana bagi melaksanakan misi itu.