
Berang dengan tindakan itu, Orang Asli Kampung Tasik Cunex mengadakan sekatan bagi menghalang aktiviti itu apabila mendakwa kawasan tanah adat dan penempatan mereka diceroboh, termasuk kehilangan sumber hutan.
Kumpulan masyarakat itu membuat sekatan dengan menutup laluan utama lori balak.
Berdasarkan laporan polis yang dilihat FMT, wakil penduduk membuat laporan itu pada 1 Februari lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik.
Mereka juga membuat aduan kepada kerajaan negeri dan menteri besar pada 10 Januari, tetapi tiada sebarang tindakan diambil.
Penduduk mendakwa turut diugut pihak syarikat dan Jabatan Perhutanan Perak susulan sekatan yang dibuat mereka.
“18 Januari, aktiviti pembalakan haram bermula tanpa kebenaran komuniti Orang Asli.

“Kami telah membuat bantahan, apabila bantahan tidak diendahkan, kami buat sekatan ‘blockade’. Pada 31 Januari, wakil syarikat dan Jabatan Perhutanan Perak datang dan memberi amaran sambil memaklumkan akan meneruskan aktiviti pengeluaran kayu balak.
“Mereka juga memaklumkan akan mengunakan cara kasar jika aktiviti pembalakan dihalang,” kata wakil penduduk Orang Asli yang enggan dinamakan, sambil memaklumkan laporan polis yang pertama turut dibuat pada 27 Januari.
Penduduk juga mendakwa pihak syarikat mula membawa masuk jentera pada 19 Disember 2018 melalui kawasan penduduk Orang Asli menyebabkan saluran paip utama pecah.
FMT difahamkan jumlah kawasan pembalakan yang terlibat ialah 80 hektar dan ia termasuk kawasan Orang Asli Tasik Cunex. Terdapat lebih 50 penduduk di penempatan itu.
Peka gesa kerajaan saman Perak
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil ketika dihubungi memaklumkan pihaknya kecewa dengan tindakan itu.

“Perak bawah Pakatan Harapan jangan hanya saman Kelantan, saman juga Perak yang sedang memusnahkan kehidupan Orang Asli di sini.
“Pembalakan sangat berleluasa di Perak,” katanya.
Beliau menambah, Peka memberi bantuan awal kepada komuniti Orang Asli di kampung Cunex termasuk mendapatkan khidmat guaman.
“Peka sedang berusaha untuk membawa perkara ini kepada perhatian pihak kerajaan pusat iaitu kepada menteri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal Orang Asli serta kepada peguam negara untuk tindakan segera.”
FMT sedang mendapatkan wakil kerajaan Perak dan jabatan perhutanan negeri.