
N Sivananthan berkata, hakim Mahkamah Rayuan Datuk Hamid Sultan Abu Backer, yang menulis dokumen 65 muka itu perlu sedia menjawab semua soalan pegawai SPRM dalam proses siasatan nanti.
“Di bawah Seksyen 30 (3)(b) Akta SPRM, seseorang saksi atau suspek perlu bersedia mendedahkan semua maklumat dalam pengetahuannya. Kalau tidak ia adalah satu kesalahan,” katanya.
Katanya, pendakwa raya boleh dakwa mereka yang dianggap bersalah jika penyiasat SPRM kumpul bukti yang cukup.
“Buat masa ini kandungan afidavit itu tidak boleh diandaikan sebagai benar.
“Semua tuduhan mesti disokong untuk pastikan kebenarannya,” katanya.
Beliau menegaskan, semua hakim yang dinyatakan oleh Hamid juga mesti dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.
Sivananthan, bagaimanapun, menjelaskan tidak ada sebarang kesalahan dalam laporan tersebut, yang dibuat oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan.
“Mungkin ada unsur rasuah untuk SPRM siasat, tetapi tiada kesalahan jenayah,” kata Sivananthan, yang berkata beliau telah membaca afidavit Hamid itu.
Pejabat Ketua Pendaftar berkata Jumaat lalu ia membuat laporan bahawa kandungan afidavit itu menjejas imej kehakiman.
Katanya, tuduhan tersebut boleh merosakkan keyakinan awam dalam institusi berkenaan dan memberi kesan negatif dalam pentadbiran kehakiman.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pegawai beliau akan bertemu dengan Hamid minggu ini untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai afidavit tersebut.
“Kita mahu dapatkan maklumat lebih daripada hakim itu mengenai dokumen tersebut memandangkan (setakat ini) kita hanya bergantung kepada laporan media,” katanya.
Peguam, Mior Nor Haidir Suhaimi berkata, adalah lebih baik sekiranya Hamid menulis kepada Yang di-Pertuan Agong, yang melantik hakim-hakim dan menyerahkan salinan aduannya itu kepada perdana menteri dn ketua hakim.
“Sebaliknya, beliau fail afidavit dan buatkan dirinya terlibat,” katanya.
Kerajaan Pakatan Harapan (PH), katanya, yang berjanji akan berpertahankan undang-undang, perlu pertimbangkan secara serius penubuhan jawatankuasa suruhanjaya diraja.
Menurutnya, afidavit itu telah menimbulkan anggapan terhadap integriti kehakiman memandangkan ia tidak mengenal pasti individu atau kejadian spesifik pihak ketiga menipu kerajaan untuk membuat tuntutan palsu.
“Beliau telah meletakkan orang awam dan pihak perundangan dalam keadaan teka-teki, suatu trend yang tidak sihat,” katanya.
Hamid telah membuat afidavit tersebut dalam sokongan ke atas tindakan undang-undang oleh peguam Sangeet Kaur Deo terhadap dakwaan kegagalan Ketua Hakim Tan Sri Richard Malanjum bagi menyelesaikan siasatan ke atas 2 kes tuduhan campur tangan kehakiman.
Satu daripada kes itu adalah kes hasutan terhadap bapa Sangeet, mendiang Karpal Singh, sementara satu lagi kes membabitkan Hamid, yang mendakwa beliau ditegur seorang hakim atasan kerana membuat penghakiman berbeza dalam kes penukaran agama 3 anak M Indira Gandhi.
Sangeet memohon perintah deklarasi terhadap ketua hakim negara gagal menjalankan tugasnya untuk melindungi dan mempertahankan integriti kehakiman.
Dalam satu kenyataan November lalu, Malanjum dilaporkan berkata, pihak kehakiman terpaksa menggantung siasatan dalam kes Karpal disebabkan siasatan polis sedang berjalan dan menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Katanya, siasatan ke atas kes Karpal juga tidak dapat dijalankan kerana 3 hakim Mahkamah Rayuan masih berkhidmat.
Mengenai kes ke-2, Malanjum berkata, siasatan terhadap dakwaan salah laku tidak dapat dijalankan kerana hakim terbabit sudah bersara.